PUTRAJAYA, 5 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) belum dilaksanakan di dua kawasan di Selayang dan Pasar Jalan Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengisytiharan itu belum dilaksanakan sebaliknya ia diperketatkan secara pentadbiran sahaja.
“Belum, selagi saya belum umumkan, tidak ada PKPD di kawasan berkenaan,
“Buat masa ini, kita hanya memperketatkan kawalan secara pentadbiran di kawasan terbabit, mungkin kawal dengan kawat duri dan sebagainya tetapi bukan PKPD,
“Kita kawal dari segi keluar masuk dengan lebih ketat dari hari biasa. Dan membuat saringan kesihatan ‘swab test’ terhadap setiap peduduk dalam kawasan tersebut,” kata Ismail Sabri ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial, kononya Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang serta Chow Kit yang meliputi kawasan sekitar Jalan Raja Bot dikenakan PKPD susulan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat berduri di dua kawasan tersebut.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat berduri di Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti, Kuala Lumpur, Selayang, malam tadi.
Tinjauan AirTimes di Taman Wilayah dan Flat Sutera, Desa Bakti, Kuala Lumpur mendapati Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan ujian saringan terhadap pekerja warga asing di kawasan berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan terhadap pekerja warga asing di Madrasah Al-Ikhlas, di Taman Desa Bakti Kuala Lumpur hari ini. Foto: Azuwan/AirTimes
Hampir 200 pekerja warga asing yang menetap di Flat Sutera, Desa Bakti telah membuat ‘swab test’ di Madrasah Al-Ikhlas, di Taman Desa Bakti Kuala Lumpur hari ini.