Home Semasa Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan

Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 4 Mei – Orang ramai dibenarkan bergerak melebihi 10 kilometer di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun pergerakan merentas negeri masih lagi tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tiada lagi syarat pergerakan radius 10km di dalam peraturan PKPB ini. Walau bagaimanapun, rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengecualian pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan berdasarkan jadual yang telah dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 4 hari iaitu bermula Khamis hingga Ahad (7 hingga 10 Mei) ini.

“Kalau kita lihat daripada segi peraturan rentas negeri buat masa sekarang masih tidak dibenarkan, cuma pengecualian bagi empat hari diberikan oleh PDRM (untuk pulang ke kediaman masing-masing) mengikut negeri,

“Selepas daripada (tarikh) itu, peraturan akan kembali kepada asal iaitu rentas negeri tidak dibenarkan,” tambahnya.

Beliau berkata, bagi mereka yang tidak dapat pulang ke bandar atau kediaman masing-masing pada tarikh yang telah ditetapkan, mereka boleh membuat permohonan kepada polis.

“Dalam hal ini, ia bergantung kepada budi bicara polis, tetapi sebaik-baiknya gunakan hari dan tarikh yang diberikan PDRM untuk pulang ke tempat kerja dan sebagainya,

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan empat hari pengecualian tersebut untuk memulakan perjalanan masing-masing,” katanya. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply