Home Semasa Kementerian Kesihatan gesa orang ramai muat turun aplikasi mudah alih MySejahtera, MyTrace

Kementerian Kesihatan gesa orang ramai muat turun aplikasi mudah alih MySejahtera, MyTrace

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 4 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai untuk memuat turun aplikasi mudah alih MySejahtera dan MyTrace untuk membantu pekerja barisan hadapan mengesan jangkitan wabak pandemik COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi MySejahtera digunakan untuk melakukan penilaian kendiri, di samping membantu KKM memperoleh mendapatkan maklumat awal mengenai tahap kesihatan individu untuk dibuat tindakan yang cepat dan berkesan.

“Antara fungsi aplikasi MySejahtera adalah sebagai pengesan hotspot, di mana pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan hotspot kes COVID-19 dalam lingkungan 1 kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian,

“Ia juga dapat memberikan maklumat berkaitan saringan COVID-19 yang terdekat dan bantuan nasihat secara atas talian,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, aplikasi MyTrace yang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif COVID-19.

MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera yang boleh digunakan rakyat Malaysia.

“Pengesanan kontak adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenalpasti positif COVID-19,

“MyTrace tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi pengguna, sebaliknya merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain,

“MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera. Kedua-dua aplikasi itu percuma dan rakyat digalakkan untuk mendapatkan kedua-dua aplikasi ini,” tambah Dr Noor Hisham. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply