Home Semasa Tenaganita kutuk penangkapan warga asing sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan

Tenaganita kutuk penangkapan warga asing sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kumpulan hak asasi Tenaganita hari ini membidas tindakan pihak melaksanakan operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di beberapa lokasi di ibu negara.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata, tindakan itu amat dikesali kerana kebanyakan yang ditahan adalah pendatang yang beragama Islam yang sedang berpuasa.

“Tenaganita mengutuk operasi menahan pendatang dan pelarian yang dilakukan di beberapa lokasi di ibu negara,

“Kita menyedari bahawa ramai yang ditahan adalah terdiri daripada umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa dan mereka terpaksa menghadapi situasi yang boleh dianggap kejam dari segi prinsip,

“Selain itu, operasi ini turut menahan kanak-kanak termasuk yang berusia 1 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Glorene A Das menambah, kerajaan Malaysia jangan mengambil jalan mudah untuk menggunakan kuasa bagi membendung isu wabak COVID-19 di kalangan PATI.

“Tindakan yang lebih komprehensif dan telus perlu dilakukan bagi menangani isu ini,” kata Glorene dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memperakui kehadiran jutaan warga asing yang tidak mempunyai dokumen di negara ini. Namun, Tenaganita menegaskan usaha sebegini memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tidak terhad kepada pihak kementerian serta agensi semata-mata.

“Usaha ini sepatutnya melibatkan pemegang taruh dan pakar yang boleh memberikan cadangan serta sumber untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau menambah, niat dan pegangan kerajaan Malaysia sewajarnya dijadikan persoalan kerana menolak tepi hak asasi manusia pada setiap individu, tanpa mengira status yang telah ditahan.

“Ini akan mencalarkan moral dan integriti negara serta membahayakan kesihatan masyarakat umum,

“Dengan melaksanakan operasi yang tidak berperikemanusiaan sebegini semasa situasi tidak menentu negara, kerajaan akan berdepan dengan kesan akibat keputusan yang dibuat secara tidak berhati-hati,” jelas Glorene lagi.

Beliau turut menyatakan operasi sebegini akan menimbulkan ketakutan di kalangan pendatang dan pelarian di kawasan lain.

“Ini sekaligus menghalang niat mereka untuk berkerjasama bagi melakukan saringan kesihatan dan mendapat rawatan sewajarnya,

“Secara tidak langsung, operasi ini akan menganggu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membendung penularan wabak COVID-19,

“Tindakan sebegini secara jelas melanggar janji bahawa tiada tindakan diambil terhadap pelarian serta pendatang yang tampil untuk melakukan saringan,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply