KUALA LUMPUR, 2 Mei – Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran menggesa kerajaan untuk menggantung operasi menahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk sementara waktu.
Dalam gesaan yang dibuat dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini, pihak LFL turut meminta pihak berwajib untuk melakukan penilaian secara telus dan komprehensif terhadap pengurusan serta pengambilan pekerja warga asing.
Beliau mengulas operasi besar-besaran yang dijalankan oleh pihak penguatkuasa di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan semalam.
“Operasi yang dijalankan oleh pihak penguatkuasa di Masjid India dan Menara City One semalam akan menimbulkan kebimbangan,
“Tindakan sebegini akan memberi isyarat kepada jutaan PATI bahawa mereka akan ditahan sekiranya mereka tampil untuk melakukan saringan kesihatan dan rawatan penyakit COVID-19,” kata Surendran
“Seperti mana-mana negara di seluruh dunia, keutamaan kita adalah untuk memerangi wabak pandemik itu,
“Namun, bagaimana matlamat ini akan dicapai sekiranya pekerja asing tanpa dokumen di negara ini takut untuk memberikan kerjasama bagi membendung COVID-19?” soal Surendran yang turut menyatakan terdapat kira-kira 4 juta golongan itu di negara ini.
Beliau menyatakan usaha Singapura dalam membendung wabak di kalangan komuniti pekerja asing wajar dicontohi.
“Jika dilihat dari sudut membendung wabak COVID-19, operasi penahan sebegini adalah sangat tidak logik,” tegasnya.
Selain itu, Surendran turut menyatakan operasi penahanan PATI akan menimbulkan risiko kewujudan kluster COVID-19 yang baharu.
“Dengan penahanan secara beramai-ramai sewaktu pandemik, terdapat risiko kewujudan kluster baharu di Pusat Tahanan Imigresen dan lokap polis.
“Pusat tahanan yang sesak adalah tempat berisiko tinggi untuk berlakunya penularan penyakit. Adakah mereka (tahanan) disaring terlebih dahulu?” katanya lagi.
Beliau menambah, rakaman visual yang diambil semasa operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh pelbagai agensi semalam tidak menunjukkan sebaran pematuhan langkah keselamatan untuk membendung wabak.
“Adakah penjarakkan sosial dan langkah-langkah lain telah diambil? Namun, rakaman semalam adalah menunjukkan keadaan sebaliknya,” tegas Surendran.
Tambahnya, operasi sebegini adalah sia-sia dan tidak bersesuaian dengan keadaan semasa walaupun bermatlamat untuk mengawal populasi warga asing.
“Peningkatan jumlah migran tanpa dokumen di negara ini adalah hasil daripada kegagalan pihak berwajib untuk mengawal mereka termasuklah polisi mengambil pekerja,
“Mereka (migran) adalah mangsa keadaan oleh polisi yang lemah dan sikap tamak agensi mengambil pekerja serta pihak-pihak tertentu,
“Perkara ini telah disuarakan banyak kali namun tidak dipedulikan oleh kerajaan. Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) seolah-olah tidak berminat untuk mengatasi masalah ini dengan lebih baik,” ujarnya.