Home Semasa Sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi 4 Mei ini

Sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi 4 Mei ini

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 1 Mei – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei 2020.

Beliau berkata, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.

“Namun kebenaran beroperasi itu tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi,

“Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal. Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya menerusi perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) negara telah mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari.

“Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” ujarnya. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply