Home Pertahanan dan Keselamatan ATM ketepikan keselamatan diri dan masa bersama keluarga, demi lindungi masyarakat

ATM ketepikan keselamatan diri dan masa bersama keluarga, demi lindungi masyarakat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Anggota tentera pada tahun ini memikul tanggungjawab yang besar sehingga sanggup mengetepikan keselamatan diri dan masa bersama keluarga, demi melindungi masyarakat sejagat dalam memerangi penularan wabak pandemik COVID-19.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, peranan yang digalas oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat besar demi kesejahteraan rakyat dan negara tidak kira dalam apa jua cabaran dan situasi termasuk ancaman COVID-19 yang kini melanda negara.

Beliau berkata demikian sempena amanat khas sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-86 pada hari ini.

Menurut Affendi, dalam negara menghadapi keterbatasan pergerakan kerana berhempas pulas menangani penularan wabak COVID-19, ATM melalui TLDM sentiasa mengekalkan kesiagaannya.

“Seiring dengan cogan kata TLDM ‘Sedia Berkorban’, anda yang bertugas di lapangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga merupakan bukti komitmen The Navy People tanpa berbelah bahagi,

“Begitu juga yang melaksanakan tugas kawalan persempadanan perairan negara yang kini dipertingkatkan demi keselamatan, kesejateraan dan kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah Affendi lagi, kesediaan warga TLDM berkorban jiwa raga demi rakyat dan negara adalah suatu nilai yang tiada taruhannya.

“Saya amat berterima kasih dan berbangga atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh warga TLDM seiring dengan tema sambutan Hari Ulang TLDM ke-86 pada tahun ini iaitu ‘Armada Siaga, TLDM Perkasa’,

“Tugas harus digalas dengan seikhlas hati demi keselamatan dan kedaulatan perairan negara agar sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Affendi menyeru semua warga TLDM akan terus kental dan bersemangat dalam melaksanakan tugas demi rakyat dan negara.

Related Articles

Leave a Reply