Home Semasa Teknologi robot buatan tempatan kurangkan risiko jangkitan COVID-19 di pusat kuarantin

Teknologi robot buatan tempatan kurangkan risiko jangkitan COVID-19 di pusat kuarantin

by M.Daim

SERDANG, 23 Apr – Ideasparq Robotics Sdn Bhd telah menyahut cabaran untuk menghasilkan robot buatan tempatan bagi membantu petugas barisan hadapan (frontliner) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pegawai Perhubungan Ideasparq Robotics Sdn Bhd, Ashraf Abdullah.

Ketua Pegawai Perhubungan Ideasparq Robotics Sdn Bhd, Ashraf Abdullah ketika ditemui Air Times berkata, pada ketika ini pihaknya telah menghasilkan 2 robot bagi memenuhi keperluan itu.

“Pada ketika ini, pihak kami telah menghasilkan 2 unit robot bagi kegunaan di MAEPS. Antara tugas robot yang dihasilkan adalah menghantar makanan kepada pesakit,” katanya kepada Air Times, hari ini.

Menurut beliau, penghasilan robot tambahan pula akan dilakukan sekiranya terdapat permintaan dari pihak berwajib.

Ashraff menambah, penggunaan robot sebagai penghantar makanan sekaligus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 antara pesakit dan frontliner. Robot tersebut mampu untuk membawa muatan sebanyak 150 kilogram.

“Robot akan digunakan dalam dewan sepenuh masa dan akan dibersihkan sebelum serta selepas digunakan,” jelasnya.

Ashraff menambah, pada ketika ini sebuah robot digunakan bagi tujuan penghantaran makanan manakala sebuah lagi digunakan untuk melakukan kerja sanitasi.

Salah satu robot yang dihasilkan telah dipasang dengan konfigurasi melakukan kerja sanitasi.

Menurutnya lagi, kedua-dua robot ini merupakan kali pertama digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja di pusat kuarantin. Robot yang digunakan adalah dari model yang sama dan disesuaikan dengan keperluan kerja semasa.

Ashraff turut menegaskan robot yang dihasilkan adalah bertujuan untuk memudahkan kerja para frontliner.

Pada ketika ini, Pusat Kuarantin MAEPS telah menerima 12 pesakit bergejala rendah untuk fasa pertama.

“Robot adalah dihasilkan dalam masa seminggu dan merupakan 100% buatan tempatan. Walaupun menghadapi kesukaran untuk mencari bahan, kami berjaya menghasilkan robot tersebut dengan tenaga kerja seramai 12 orang,” ujarnya.

Beliau menambah, kebiasaannya tempoh masa 2 minggu diperlukan bagi menghasilkan sebuah robot. Namun, robot tersebut dihasilkan dalam masa singkat berikutan keadaan yang memerlukan.

“Pekerja kami berjaya mencapai objektif menghasilkan robot dalam masa singkat dengan melakukan kerja-kerja pemasangan sepanjang masa,” kata Ashraff.

Robot penghantar makanan mampu untuk menampung beban seberat 150 kilogram.

Robot yang dioperasikan di Pusat Kuarantin MAEPS dikawal secara jarak jauh dengan menggunakan wifi dan turut dipasang kamera bagi memudahkan pemanduan robot oleh petugas.

Menurut Ashraff, pihak syarikatnya berasa bangga kerana berjaya menghasilkan robot bagi memenuhi keperluan semasa tanah air.

“Syarikat kami amat berbesar hati kerana dapat membantu frontliner dalam melaksanakan kerja mereka,

“Dengan penggunaan robot yang kami hasilkan, frontliner mampu untuk menumpukan perhatian mereka kepada tugas lain,” katanya lagi.

Ideasparq Robotics Sdn Bhd merupakan syarikat tempatan yang menghasilkan kenderaan robot bagi kegunaan pelbagai industri semenjak tahun 2013.

Related Articles

Leave a Reply