Home Semasa 10,000 warganegara asing tinggal di kawasan PKPD Selayang

10,000 warganegara asing tinggal di kawasan PKPD Selayang

by Nor Azlan Mohd Nor

SELAYANG, 23 Apr – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan kira-kira seramai 8,000 hingga 10,000 warganegara asing tinggal di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Selayang.

Menurut beliau lagi, anggaran telah dibuat melalui bancian oleh pihaknya. Warganegara asing ini dikesan tinggal dalam 1,700 unit rumah.

“Kami telah membuat bancian bahawa terdapat 1,500 unit rumah dihuni oleh warganegara Malaysia,

“Dianggarkan sekitar 8,000 hingga 10,000 penduduk bukan warganegara di kawasan ini yang mendiami kira-kira 1,700 unit rumah,” kata Menteri Wilayah Persekutuan semasa sidang media di Selayang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat PKPD adalah mencukupi.

Menurutnya lagi, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan bekalan makanan yang diberikan tidak mencukupi(menyeluruh) kerana ia hanya meliputi bekalan asas seperti beras dan tepung gandum.

“Agihan makanan kepada penduduk tempatan termasuk lauk-lauk makanan tin dan sejuk beku akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan RELA,

“Bagi penduduk bukan warganegara, bantuan makanan akan diberikan kepada mereka oleh petugas daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” jelas Annuar.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kedai-kedai runcit di setiap blok perumahan akan dibenarkan beroperasi bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang bulan Ramadhan.

“Peniaga juga boleh memohon kebenaran untuk mendapatkan bekalan tambahan sekiranya  kehabisan stok untuk kedai mereka,” katanya.

Hasil tinjauan Annuar di stor simpanan berkenaan mendapati simpanan makanan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain diletakkan secara tersusun dan sistematik.

Selain itu, Annuar berkata tiga buah ambulan telah disediakan di kawasan PKPD bagi membantu sebarang kes kecemasan.

Related Articles

Leave a Reply