Home Semasa COVID-19: 4 bot peronda APMM, Polis Marin pantau perairan Semporna kuatkuasa PKP

COVID-19: 4 bot peronda APMM, Polis Marin pantau perairan Semporna kuatkuasa PKP

by Air Times News Network

SEMPORNA, 21 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan pengawasan dan pemantauan terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 25 Mac hingga 28 April 2020 di sekitar perairan Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata penguatkuasaan kepada pematuhan PKP melalui Operasi Inter-Agensi yang telah memasuki fasa ketiga ini akan lebih diperketatkan dan ditingkatkan.

“Operasi ini melibatkan sebanyak 2 buah bot peronda Maritim Malaysia dan 2 buah bot peronda dari Pasukan Polis Marin (PPM) yang melaksanakan pemantauan disekitar perairan Alur Tando Bulong, Semporna bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang setiap hari,

“Sepanjang pemantauan dijalankan, majoriti yang ditemui adalah dikalangan penduduk setempat dari Pulau Bum-Bum yang ingin membeli keperluan harian di Pekan Semporna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norrimi, penduduk kampung telah dinasihatkan agar sentiasa patuh pada arahan PKP dan perlu mengamalkan cara kebersihan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung, mencuci tangan menggunakan sabun serta menjaga jarak sosial (social distance) sekurang-kurangnya 1 meter,” ujarnya.

Beliau juga berkata rondaan yang dilaksanakan turut mendapati tiada aktiviti pelancongan dan aktiviti riadah dijalankan sekitar perairan Semporna.

“Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa agar risiko penyebaran wabak COVID-19 dapat dibendung 100 peratus,

“Pemantauan PKP seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa agar dapat memberi kesedaran maksimum seterusnya kesan positif kepada komuniti maritim khususnya,” tegasnya. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply