Home Semasa COVID-19: Kluster baharu babitkan 43 pelajar Malaysia pulang dari Indonesia

COVID-19: Kluster baharu babitkan 43 pelajar Malaysia pulang dari Indonesia

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 19 Apr – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan satu lagi kluster COVID-19 yang baharu telah dikesan dari ini.

Menurut beliau, kluster terbabit melibatkan seramai 43 orang pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air dari negara jiran.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua 43 pelajar terbabit telah dikesan positif COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.

“Mereka adalah pelajar yang pulang dari Temboro. Kawaasan itu merupakan salah satu tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di Magetan, Indonesia,

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di negeri Melaka dan 9 orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya dalam sidang media harian berkaitan COVID-19, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil langkah melaksanakan kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan. Ia adalah bagi memastikan kes import tersebut tidak menjangkit penduduk tempatan.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham memaklumkan satu kes kematian berkaitan jangkitan COVID-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

“Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 89 kes,

“Kes kematian ke-89 (kes ke-4769) merupakan lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang,

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-2726,

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 13 April dan disahkan meninggal dunia pada 18 April jam 6.47 petang,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengesahkan sebanyak 84 kes terbaharu dilaporkan dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kes postif di negara sehingga hari ini sebanyak 5,389 kes positif wabak berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 46 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 menggunakan bantuan alat pernafasan,

“Kes aktif (positif COVID-19) kebolehjangkitan seramai 2,103 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,”jelas Dr Noor Hisham.

Manakala kes yang telah sembuh dan dibenarkan keluar adalah sebanyak 95 kes. Ini menjadikan jumlah kes pesakit yang telah sembuh dan discaj adalah sebanyak  3,197 kes atau 59.32 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

 

Related Articles

Leave a Reply