Home Semasa Ujian UPKK dibatalkan diseluruh negara

Ujian UPKK dibatalkan diseluruh negara

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 17 Apr – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat keputusan membatalkan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober 2020 di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, JAKIM membuat keputusan itu selaras dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Selaras dengan keputusan KPM tersebut, JAKIM juga membuat keputusan bahawa pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara akan dibuat mengikut ketetapan KPM.

“Keputusan ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Zulkifli Mohamad berkata, pembatalan UPKK ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti Pendidikan KAFA bermula tahun 1 hingga 6 di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan berbagai kaedah,

“Justeru, bagi tujuan ini, JAKIM akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini pada 15 April 2020, KPM telah membuat keputusan untuk membatalkan ujian UPSR dan PT3 serta menangguhkan peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM ke tahun 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan adalah tertakluk kepada perkembangan semasa serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga benar-benar yakin keadaan telah Kembali pulih daripada wabak COVID-19. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply