Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong musuh negara, awas anda sedang diperhati

Tekong musuh negara, awas anda sedang diperhati

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Apr – Rakyat Malaysia perlu menjadi mata dan telinga kepada negara untuk menumpaskan ‘tekong’ yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui ‘laluan tikus’.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam paparan Facebook rasminya berkata, kegiatan tekong ini merupakan sebahagian musuh kepada negara.

“Jangan biarkan mereka (tekong) berkuasa, kelak kluster wabak pandemik COVID-19 bertambah,

“Kita (rakyat Malaysia) juga yang akan merana, Jangan biarkan PATI menjejak kaki ke Malaysia angkara tekong yang bermaharajalela,” katanya.

Pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) kini giat mempertingkatkan kawalan dan pemantaun di sempadan dan perairan negara.

Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih wujud cubaan untuk membawa masuk PATI ke Malaysia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat PATI yang cuba masuk ke negara ini secara senyap-senyap melalui sempadan negara semasa PKP.

Sebarang maklumat mengenai kegiatan ini boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Malaysia (MCC), Bukit Aman melalui talian talian 03-22663333/ 03-22663444 atau e-mel ke [email protected].

Pusat Kawalan Malaysia atau MCC (Malaysia Control Centre) adalah nadi operasi PDRM yang penting sekali.

Selain daripada berfungsi sebagai pusat penerimaan dan penyaluran maklumat berkaitan jenayah dan ketenteraman awam, ia juga bertindak sebagai koordinator PDRM dalam mengendalikan ketenteraman awam di Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply