Home Pertahanan dan Keselamatan ‘Gerobok Rezeki’ Masjid Khalid Al-Walid ringankan beban anggota ATM dan golongan asnaf

‘Gerobok Rezeki’ Masjid Khalid Al-Walid ringankan beban anggota ATM dan golongan asnaf

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Apr – Pengurusan Masjid Khalid Al-Walid mengambil pendekatan membantu anggota tentera dan golongan asnaf yang memerlukan dengan pemberian bantuan barangan keperluan dapur secara percuma.

Bantuan yang dikenali sebagai ‘Gerobok Rezeki’ ditempatkan di perkarangan masjid. Antara barangan keperluan harian yang disediakan adalah seperti beras, gula, bihun, minyak masak dan telur.

Timbalan Pengerusi Masjid Khalid Al-Walid, Brigedier Jeneral Datuk Nawawi Daud berkata program ini bertujuan untuk membantu dan meringankan beban anggota tentera serta ahli kariah yang kekurangan bekalan keperluan harian terutamanya semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi Masjid Khalid Al-Walid, Brig Jen Datuk Nawawi Daud berkata program ini bertujuan untuk membantu dan meringankan beban anggota tentera serta ahli kariah yang kekurangan bekalan keperluan harian. Foto: Azuwan/AirTimes

“Gerobok rezeki ini telah ditubuhkan secara rasminya pada 3 Mei 2019 dan matlamatnya untuk menyantuni anggota tentera, ahli kariah dan asnaf zakat,

“Barangkali mereka ini segan untuk pergi ke kaunter zakat atau baitulmal, jadi kami menyediakan satu program iaitu gerobok rezeki (food bank) untuk memberi sokongan bantuan dalam bentuk barangan harian supaya dapat meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, hari ini.

Beliau berkata, secara umumnya anggota tentera yang layak menerima sumbangan ini adalah mereka berpangkat Koperal ke bawah manakala penjawat awam pula pada Gred N17 dan ia juga terbuka kepada semua ahli kariah yang memerlukan bantuan.

“Pihak masjid sendiri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM 1,000 sebulan secara tetap bagi membeli barangan asas untuk dibekalkan di gerobok ini,

“Dalam masa yang sama, pihak kami juga telah menyediakan tabung khas bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli jemaah dan orang awam untuk menyumbang,

“Sumbangan ke tabung gerobok rezeki ini pada setiap minggu mencecah jumlah RM1,000 ke RM2,000 dan dana ini digunakan untuk beli barang-barang keperluan,” tambahnya.

Nawawi berkata sepanjang tempoh PKP ini, pihak masjid telah membelanjakan sebanyak RM10,000 untuk menampung pertambahan keperluan ahli kariah.

“Oleh kerana tempoh PKP ini dilanjutkan, pihak masjid akan menyediakan barang keperluan tambahan,

“Semenjak PKP dikuatkuasakan, seramai 183 orang asnaf telah menerima bantuan dari program ini dan ia akan di teruskan bagi meringankan beban mereka,

“Sebelum ini, kita anggarkan satu pek bantuan berharga RM20 hingga RM30, tetapi untuk tempoh PKP, pihak kami telah menambah kuantiti barangan sehingga berjumlah RM50 di dalam satu pek sumbangan,” kata Nawawi.

Selain sumbangan dari gerobok rezeki, Nawawi berkata program ini juga menjadi tempat pengumpulan bantuan ihsan melalui sumber zakat dari penyumbang yang prihatin.

“Jadi kita mengunakan platfrom ini untuk menyalurkan sumbangan zakat dan ianya bukan hanya dari tabung masjid,

“Pihak Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memberikan dana untuk warga ATM, jadi kita salurkan sumbangan itu melalui gerobok rezeki ini, sekaligus turut memudahkan pengumpulan dan pengambilan bagi warga tentera atau golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau menambah, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan barangan juga amat dialu-alukan bagi membolehkan lebih ramai yang mendapat faedah dan manfaat daripada proram berkenaan.

“Sekiranya ada penderma atau orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan, mereka boleh membuat sedemikian melalui nombor akaun 14210010000284 (Bank Islam Malaysia) atas nama Masjid Khalid bin Al-Walid,” jelas beliau.

Kpl Mohd Hazuan Seman menzahirkan rasa syukur dengan pemberian sumbangan Gerobok Rezeki ini. Foto: Azuwan/AirTimes

Sementera itu, bagi penerima sumbangan, Kpl Mohd Hazuan Seman menzahirkan rasa syukur dengan pemberian sumbangan ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk meringankan beban bagi golongan yang memerlukan.

“Saya berasa sangat bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh ATM yang berupa barangan keperluan harian, ia juga dapat meringankan beban saya sekeluarga memandangkan isteri tidak bekerja,

“Terima kasih kepada ATM dan penderma-penderma yang telah memberi sumbangan untuk Gerobok Rezeki ini,” jelas Hazuan. – Airtimes

Geleri Gambar :

Related Articles

Leave a Reply