PUTRAJAYA, 14 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan seorang lelaki tanpa pengenalan diri ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah, positif COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki yang dipercayai bukan warganegara Malaysia itu ditemui meninggal dunia pada 6 April 2020.
“Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil ketika bedah siasat pada 11 April 2020, mendapati mangsa positif wabak berkenaan,
“Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Dr Noor Hisham menjelaskan empat lagi kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia meningkat kepada 82 kes.
Beliau juga menyatakan, sehingga jam 12.00 tengah hari tadi, 170 kes terbaharu telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,987 kes.
“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,427 kes. Mereka kini telah diasingkan dan diberi rawatan,
“Seramai 60 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 33 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” jelas Dr Noor Hisham.
Berikut laporan terperinci kematian akibat COVID-19 dalam negara hari ini;
- Kes kematian ke-79 (kes ke-2,052) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 5.17 pagi.
- Kes kematian ke-80 (kes ke-4,818) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung serta penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 11.36 malam.
- Kes kematian ke-81 (kes ke-4,521) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4,088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 4.20 petang.
- Kes kematian ke-82 (kes ke-1,649) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 11.50 pagi. – AirTimes