Home Semasa Eksklusif: 450 petugas pelbagai agensi jaga kebajikan 1,300 keluarga di zon PKPD Simpang Renggam

Eksklusif: 450 petugas pelbagai agensi jaga kebajikan 1,300 keluarga di zon PKPD Simpang Renggam

by M.Daim

SIMPANG RENGGAM, 14 April – Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu menegaskan barang keperluan harian seramai 1,300 keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam adalah mencukupi.

Menurut beliau, perkara itu adalah menjadi fokus utama dan sentiasa diambil perhatian oleh para petugas dari pelbagai agensi di Bilik Gerakan PKPD Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).  Kelompok petugas yang berada di pusat gerakan itu melibatkan pelbagai agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu.

Difahamkan, bilangan para petugas yang berada di bilik gerakan ini adalah 370 orang dan bertambah kepada 450 orang sekiranya keadaan memerlukan.

Ismail menyatakan Bilik Gerakan di Dewan Orang Ramai MDSR mula beroperasi semenjak PKPD dikuatkuasakan. Bilik gerakan ini memainkan peranan sebagai pusat operasi yang menguruskan segala maklumat, penerimaan dan pengagihan bekalan.

“Bilik Gerakan PKPD telah dibuka pada 27 Mac 2020 dan Jawatankuasa Bencana Daerah telah menggerakkan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan operasi PKPD berjalan lancar,

“Operasi bilik gerakan ini melibatkan pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah Kluang, MDSR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera, Angkatan (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” jelas Ismail.

Beliau menambah, sebahagian besar bilangan petugas adalah berada di lapangan.

‘1,300 isi rumah terlibat’

PKPD yang diisytiharkan pada 27 Mac lalu di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid sekaligus menutup sebarang aktiviti perniagaan di kedua-dua kawasan.

Penutupan aktiviti perniagaan secara langsung menyebabkan bekalan makanan penduduk terputus.

Tinjauan Air Times di Bilik Gerakan mendapati 9 lagi kawasan penempatan terlibat dalam zon PKPD. Difahamkan, kawasan ini ditakrifkan sebagai kawasan kuning atau zon pemampan.  Zon pemampan ini melibatkan kawasan rangkaian kepada zon merah.

Kawasan terlibat dalam PKPD di Simpang Renggam.

“Jumlah rumah yang terlibat dengan PKPD adalah 1,300 rumah. Untuk di zon merah (Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid), sebanyak 650 isi rumah terlibat,

“Baki (650 buah rumah) pula adalah dari kawasan kampung berdekatan yang merupakan kawasan rangkaian kepada zon merah,” ujarnya.

Dalam kenyataan akhbar oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pengisytiharan PKPD di Simpang Renggam, bekalan makanan asas kepada penduduk diselaraskan oleh JKM.

Barang keperluan asas

Menyentuh bekalan makanan asas, Pegawai Daerah Kluang menjelaskan barangan-barangan keperluan itu dibekalkan secara bersama oleh pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JKM telah menyumbangkan barang keperluan asas seperti kit makanan, beras, minyak, gula dan juga tepung,

“Kerajaan negeri pula membekalkan barangan yang tidak disediakan oleh kerajaan pusat. Contohnya, bekalan makanan basah, ayam, daging, telur serta tong gas,” ujarnya.

Bekalan makanan yang disalurkan kepada penduduk yang terlibat dalam PKPD.

Ismail Abu menyatakan, barang keperluan tambahan adalah barangan selain daripada bekalan makanan ruji yang disalurkan kepada penduduk. Antara keperluan tambahan yang diminta oleh penduduk adalah sabun, ubat gigi, susu formula dan lampin kanak-kanak serta orang dewasa.

Pembelian barang tambahan melibatkan kerjasama dari pihak MAIJ.

Kesemua barang-barang yang dikumpulkan di Bilik Gerakan kemudiannya disalurkan ke zon merah dan zon kuning pada setiap hari.

Bekalan dari waris

Selain mendapat bekalan dari pihak berkuasa, penduduk turut mendapatkan bekalan tambahan dari ahli keluarga mereka yang berada luar kawasan PKPD.

“Kita memang galakkan untuk ahli keluarga atau waris penduduk untuk membantu membekalkan barang keperluan khusus yang tidak disediakan seperti ikan bilis dan ikan,” jelas Ismail.

Menurut beliau, para waris boleh menyalurkan barangan kepada ahli keluarga mereka di zon PKPD dengan menghantar barang ke bilik gerakan.

“Bilik gerakan akan membantu untuk menghantar barangan kepada ahli keluarga mereka,” katanya lagi.

Bekalan dari waris penduduk di luar zon PKPD.

Aduan penduduk

Ismail menambah, penduduk di kawasan yang terlibat dengan PKPD turut diberi ruang untuk menyalurkan aduan mereka kepada bilik gerakan.

“Jawatankuasa aduan diwujudkan di bilik gerakan dimana penduduk boleh menghubungi kami melalui talian telefon,” katanya.

Beliau menjelaskan aduan yang telah diterima oleh pihak jawatankuasa adalah terdiri daripada permintaan keperluan tambahan oleh penduduk.

“Aduan yang diterima adalah permintaan tambahan, bukannya terputus bekalan makanan,

“Berdasarkan statistik, aduan-aduan yang diterima adalah semakin berkurangan dari hari ke hari,” tegas Ismail.

Agihan bekalan kepada penduduk dibantu oleh anggota Angkatan Perkhidmatan Awam (APM).

PKPD

PKPD merupakan perintah kawalan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda negara. Berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, PKPD tidak membenarkan penduduk keluar dari kawasan yang diperintahkan.

Selain daripada itu, tiada sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan yang diisytiharkan.

Di samping itu, PKPD turut melibatkan aktiviti pengesanan aktif oleh pihak berkuasa kesihatan. Aktiviti pengesanan ini melibatkan pembukaan Pangkalan Perubatan dan juga pergerakan pasukan perubatan dari satu kediaman ke satu kediaman.

Pada masa yang sama, anggota tentera, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di lokasi terlibat untuk mengawal kawasan.

bandar Baru Ibrahim Majid merupakan salah satu zon merah dalam PKPD di Simpang Renggam.

Kampung Dato’ Abdul Majid dan Bandar Baru Dato’ Abdul Majid merupakan kawasan pertama yang dikenakan perintah PKPD oleh kerajaan Malaysia. PKPD di kedua-dua kawasan di Simpang Renggam ini akan berakhir 28 April 2020.

Sehingga berita ini ditulis, sebanyak 5 kawasan telah dikenakan PKPD.

Selain Simpang Renggam, kawasan Hulu Langat di Selangor dikenakan perintah PKPD mulai 30 Mac lalu. Namun, zon liputan PKPD di kawasan ini telah dikurangkan kepada kawasan Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui.

Di Kuala Lumpur, 3 kawasan telah dikenakan PKPD iaitu Menara City One, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, serta kawasan Masjid India.

Menara City One dikenakan PKPD mulai 31 Mac lalu sementara Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion pula dikenakan perintah yang sama mulai 8 April.

Sementara itu, zon PKPD ke-5 telah diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini. Zon PKPD ke-5 ini melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

Kesemua tempoh tamat kawasan PKPD adalah pada 28 April 2020.  – Air Times

Related Articles

Leave a Reply