Home Semasa Markas 2 Briged Tentera Darat cipta ‘Virus Buster’ kekang penularan COVID-19

Markas 2 Briged Tentera Darat cipta ‘Virus Buster’ kekang penularan COVID-19

by Bernama

IPOH, 6 Apr – Markas 2 Briged menghasilkan mesin nyah kuman bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sepanjang Ops Penawar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata mesin nyah kuman itu, ‘Virus Buster’, yang berfungsi sebagai terowong nyah kuman dan virus bernilai kira-kira RM4,000 berjaya dihasilkan oleh tujuh anggota yang terlibat menyiapkan mesin berkenaan dalam dua hari sahaja.

“Virus Buster menggunakan bahan yang murah dan mudah diperbuat daripada rangka besi, kayu, plat zink, plastik, tong air dan pump AV32 untuk semburan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman yang mampu menghapuskan hampir 100 peratus kuman atau virus yang melekat pada tubuh badan.

“Kesemua pegawai dan anggota perlu melalui laluan Virus Buster setiap seorang pada satu-satu masa selama 10 hingga 15 saat setiap kali sebelum dan selepas melaksanakan tugas operasi bagi semburan menyeluruh ke seluruh badan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi penggunaan mesin berkenaan di sini, hari ini.

Malek Razak berkata seramai 31 pegawai dan 780 anggota lain-lain pangkat terlibat sepanjang Ops Penawar dan dibantu Markas Armada Barat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meliputi 12 daerah di negeri ini. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply