Home Semasa 9 hospital di Malaysia medan uji keberkesanan ubat rawat COVID-19

9 hospital di Malaysia medan uji keberkesanan ubat rawat COVID-19

by M.Daim

PUTRAJAYA, 6 April – Sebanyak 9 buah hopital di negara ini terlibat dalam ujian keberkesanan ubat-ubatan bagi merawat jangkitan COVID-19.

Pemilihan kesemua hospital terbabit merupakan sebahagian daripada penglibatan Malaysia dalam usaha “Solidarity Trial” (Kajiselidik Solidariti) di peringkat antarabangsa.

Dalam kenyataan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 9 hospital yang terpilih adalah Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihak KKM telah menyegerakan proses pelaksanaan kajiselidik ubat untuk merawat pesakit COVID-19 yang akan bermula tidak lama lagi.

“Penyertaan Malaysia dalam kajiselidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menambah bahawa Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kajiselidik WHO di Malaysia.

Pada masa yang sama, beliau turut memberi jaminan bahawa kajiselidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sementara itu, Dr Ying-Ru Lo, Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura berkata, kajiselidik ini merupakan peluang kepada negara untuk menjadi rakan kongsi penting dalam memerangi COVID-19/

“Pandemik global ini menjejaskan lebih 180 buah negara, dan salah satu daripada ubat-ubatan ini adalah harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti COVID-19,

“Inilah peluang kita, sebagai sebuah komuniti global, untuk menentang gelombang pandemik ini. Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kajiselidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan, dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini,” katanya.

Penyelidikan ini akan diketuai oleh Dr Chow Ting Soo, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang dengan pasukan yang terdiri daripada 16 Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli farmasi sebagai Penyelidik Bersama di hospital-hospital KKM.

Kajiselidik yang dijalankan di seluruh dunia ini bertujuan mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan dan keberkesanan 4 protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Kesemua ubat-ubatan akan digunakan secara serentak pada pesakit yang akan dipilih secara rawak dari semua peringkat jangkitan.

Ujian dijangka akan bermula selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Penyelidikan Perubatan Etika.

Related Articles

Leave a Reply