Home Semasa Polis dan tentera kawal pasar borong Selayang, perketat PKP

Polis dan tentera kawal pasar borong Selayang, perketat PKP

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 5 Apr – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia akan ditempatkan di Pasar Borong Selayang bagi memantau pergerakan orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa kedua.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat pada hari ini oleh kerajaan selepas menerima banyak laporan bahawa orang ramai masih bersesak di kawasan premis berkenaan untuk membeli barangan keperluan harian.

“Didapati masih lagi rakyat bersesak di premis serta tak mematuhi prosedur penjarakkan fizikal satu meter dan sebagainya,

“Keputusan mesyuarat hari ini, kita letakkan polis dan tentera untuk pastikan pematuhan PKP di pasar borong dan pasar basah Selayang,” tegas beliau pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan sebanyak 107 daripada 551 pusat kuarantin di seluruh negara atau 19.4 peratus kini dibuka dan beroperasi sepenuhnya bagi menempatkan individu yang pulang ke Malaysia.

Semalam, beliau berkata wujud laporan tidak tepat berhubung kapasiti pusat kuarantin di seluruh negara.

“Sebenarnya ada 551 pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan dan ia mampu menempatkan lebih 40,000 orang,

“Sehingga hari ini, 107 stesen sudah beroperasi sepenuhnya. Semalam 90, hari ini tambah 17 menjadikan 107 kini dibuka dan beroperasi,”tambahnya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply