Home Semasa Kluster Itali catat 37 jangkitan dan 5 kematian COVID-19

Kluster Itali catat 37 jangkitan dan 5 kematian COVID-19

by M.Daim

PUTRAJAYA, 5 April – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan terdapat kluster jangkitan COVID-19 yang wujud daripada pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali.

“Hasil siasatan mendapati wujud satu kluster daripada kes indeks positif COVID-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali,

“Setakat ini, daripada kluster tersebut, 37 orang telah disahkan positif COVID-19 dimana terdapat 5 kematian dan satu kes kritikal,” kata Dr Noor Hisham Abdullah semasa Sidang Media Situasi Semasa Jangkitan COVID-19.

Beliau menambah, kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ke-3.

“Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menegaskan bahawa adalah penting supaya masyarakat memberikan maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, sejarah perjalanan ke luar negara atau kehadiran ke perhimpunan yang dinyatakan berkaitan penularan wabak,” gesa Ketua Pengarah Kesihatan.

Beliau menambah, wabak COVID-19 telah merebak kes 180 buah negara di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menyatakan bilangan pesakit pulih di negara ini telah melebihi paras 1,000.

“Terdapat 90 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 1,005 kes,” katanya

Menurut beliau, bilangan pesakit pulih adalah merangkumi 27.44% dari jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, beliau turut menyatakan sebanyak 179 kes baharu dikesan pada hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3.662 kes.

“Daripada jumlah yang baharu dilaporkan, sebanyak 46 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling,

“Sehingga kini, 99 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 48 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut menyatakan sebanyak 4 kes kematian direkodkan pada hari ini dan menjadikan jumlah kematian sebanyak 61 kes.

Related Articles

Leave a Reply