Home Pertahanan dan Keselamatan PKP: BAKAT ATM sumbang 10,000 kotak makanan kepada petugas barisan hadapan

PKP: BAKAT ATM sumbang 10,000 kotak makanan kepada petugas barisan hadapan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Atas rasa keperihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap kebajikan keluarga anggota tentera khasnya dan anggota tentera amnya, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menyumbangkan 10,000 kotak makanan sebagai tanda sokongan kepada anggota tentera yang bertugas dalam menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Puteri Seri Teja Puan Seri Tengku Muhaini Almarhum Sultan Ahmad Shah telah menyampaikan pek makanan kepada para petugas ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dari terus merebak di negara ini.

Tengku Muhaini berkata, sumbangan ini merupakan pek makanan ringan untuk para petugas yang terlibat, dengan harapan ianya sedikit sebanyak dapat memberi sokongan moral dan menceriakan petugas barisan hadapan di sepanjang penugasan mereka.

“Sumbangan ‘tip bits’ ini untuk menceriakan anggota tentera yang bertugas. Kami sediakan air kotak, gula-gula, kek, buah, roti gardenia, kismis dan biskut yang disediakan serta dibungkus oleh ahli-ahli BAKAT sendiri,

“Niat kami (ahli-ahli BAKAT) hanya untuk menceriakan mereka  yang bertugas,

“Sambil mereka bertugas dan ada kalanya tiada masa untuk berehat, jadi kami sediakan makanan ringan yang sihat untuk mereka,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan BAKAT ATM Kepada Petugas Barisan Hadapan COVID-19 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata sumbangan ini adalah hasil kerjasama daripada semua BAKAT perkhidmatan yang terdiri daripada BAKAT Darat, Laut, Udara dan Gabungan serta beberapa penyumbang individu yang lain.

Dalam masa yang sama, Tengku Muhaini menegaskan ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menyediakan aktiviti-aktiviti untuk anak-anak supaya mereka sentiasa berada di rumah.

“Ibu bapa kena kreatif dan keluarkan idea yang bernas untuk mengisi masa lapang mereka supaya anak-anak tidak bosan duduk dirumah,

“Selain itu, masa PKP ini juga adalah masa yang sesuai untuk mereka meluangkan lebih masa kepada keluarga dan anak-anak,” tambah Tengku Muhaini.

Memasuki hari ketiga fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan, anggota ATM terus komited dalam membantu PDRM menguatkuasakan kawalan tersebut bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Lebih 6,000 anggota ditugaskan untuk membantu PDRM dalam penugasan ini.

 

 

Related Articles

Leave a Reply