Home Pertahanan dan Keselamatan Lebih 700 anggota tentera bantu Polis laksana PKP di Sabah

Lebih 700 anggota tentera bantu Polis laksana PKP di Sabah

by Bernama

KOTA KINABALU, 2 April – Lebih 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk membantu polis dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Mohammad Khir Abdullah berkata daripada jumlah itu, 45 anggota daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 30 daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan selebihnya anggota tentera darat.

“Dalam pelaksanaan PKP ini tentera membantu polis dalam melaksanakan sekatan jalan raya dan rondaan di seluruh Sabah,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Mohammad Khir berkata anggota tentera bertugas semasa PKP secara bergilir-gilir.

“Semua anggota berkenaan akan ditukar dengan anggota lain sehingga selesai PKP pada 14 April ini. Bagaimanapun kita sentiasa bersiap sedia untuk membantu pihak polis sekiranya PKP dilanjutkan,” tambahnya.

Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata ia adalah kunjungan hormat terakhirnya sebelum bersara wajib.

“Saya berjumpa dengan Ketua Menteri untuk menyampaikan ucapan terima kasih kerana memberi sokongan dan kerjasama selama saya menjawat jawatan ini. Esok saya akan mula bercuti sebelum bersara wajib daripada ATM selepas 41 tahun berkhidmat,” katanya.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply