Home Semasa Berhibur, melepak, gagal beri alasan munasabah antara kesalahan hari ke-11 PKP

Berhibur, melepak, gagal beri alasan munasabah antara kesalahan hari ke-11 PKP

by Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini memasuki hari ke-12, namun masih ramai yang ingkar dengan arahan itu sehingga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas dengan menahan mereka terlibat.

Semalam sahaja (hari ke-11), seramai 649 individu ditahan di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan antaranya melepak, berhibur serta berkumpul.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata polis diberi kebenaran untuk mengenakan tindakan segera termasuk kompaun selain mendakwa mereka di mahkamah.

Jumlah tangkapan tertinggi yang direkodkan semalam adalah di Pulau Pinang dengan 104 individu, masing-masing 69 orang di Seberang Perai Tengah (SPT) dan 35 lelaki di Seberang Perai Utara.

Pemangku Ketua Polis Daerah SPT Supt Mohd Mustafa Bidin berkata 66 lelaki dan tiga wanita berumur antara 20-an hingga 40-an ditahan berikutan kedegilan mereka yang sengaja berada di luar rumah tanpa tujuan dan alasan munasabah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan 35 lelaki termasuk tiga warga Myanmar, yang kesemuanya berumur 20 hingga 60 tahun kerana berkumpul menunggu bekalan air ketum di sebuah bangsal nelayan di Kampung Contoh Bagan Ajam, Butterworth.

Di Johor, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata 30 individu termasuk dua remaja berumur antara 15 dan 26 tahun ditahan di tiga unit rumah di sebuah pangsapuri di Jalan Tanjung Puteri, kerana dipercayai terbabit dalam parti persendirian.

Di Kedah, Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata 14 individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia berumur 17 hingga 43 tahun ditahan ketika berkumpul di empat lokasi sekitar pulau itu, semalam.

Sementara itu, di Terengganu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan memberitahu enam individu termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 dan 32 tahun ditahan ketika sedang melepak di depan sebuah rumah di Kampung Geliga, Kemaman.

Di Negeri Sembilan, tujuh termasuk seorang individu dikehendaki polis bersabit kes dadah ditahan di negeri itu, semalam dan awal pagi tadi, atas kesalahan berada di tempat awam dan gagal memberi alasan yang munasabah serta berkonvoi.

Di Pahang, 89 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan pelanggaran PKP bermula 18 Mac lepas sehingga semalam.

Sementara itu di Sarawak, Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Sekam Anoi berkata seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia, 33, ditahan kerana melanggar arahan PKP.

Di Labuan, Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata empat individu berumur lingkungan 20-an ditahan hari ini ketika pulang daripada mencari ketam di kawasan Kampung Bebuloh Laut.

Selain itu, di PERAK, 13 jemaah ditahan di sebuah masjid di Bagan Serai, semalam kerana melakukan solat isyak secara berjemaah yang jelas melanggar arahan PKP.

Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 atau di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply