Home Pertahanan dan Keselamatan Koperasi Tentera benarkan penangguhan pinjaman selama 6 bulan mulai April

Koperasi Tentera benarkan penangguhan pinjaman selama 6 bulan mulai April

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd (Koperasi Tentera) hari ini mengeluarkan pekeliling penangguhan pembayaran balik pinjaman (moratorium) secara automatik kepada anggota tentera dan pelanggannya untuk tempoh enam bulan bermula April sehingga September 2020.

Koperasi Tentera (KT) menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya berkata, moratorium itu melibatkan Pembiayaan Peribadi, Berjangka-i SME KT dan Ar-RahnuKT.

Dengan penangguhan bayaran balik pembiayaan ini, KT akan melaksanakan inisiatif seperti berikut:

1. Potongan gaji bagi bayaran pembiayaan untuk bulan April, Mei dan Jun akan dikembalikan ke dalam akaun simpanan anggota. Tiada potongan pembiayaan bermula Julai sehingga September.

2. Potongan gaji bagi bayaran pembiayaan melalui Majikan dan Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) berjalan seperti biasa. Wang ini akan dikembalikan ke dalam akaun simpanan anggota.

3. Kemudahan moratorium ini turut dipanjangkan kepada anggota yang telah bersara dan yang membuat bayaran melalui kaedah lain.

4. Sekiranya anggota memilih untuk tidak menerima moratorium ini, sila emel kepada KT di [email protected] atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KT di talian 1-300-8000-58.

5. Pembiayaan bermasalah atau tertunggak lebih dari 90 hari pada tarikh 1 April 2020 tidak layak untuk menerima kemudahan moratorium ini termasuk bagi pembiayaan yang dibayar melalui potongan gaji.

6. Kemudahan moratorium ini juga akan diberikan kepada pelanggan SME KT/ Pembiayaan Berjangka-i (SME KT).

7. Ar-RahnuKT – tiada sebarang lelongan akan dilaksanakan sehingga 30 September 2020 walaupun telah mencapai tarikh matang.

8. Setelah tempoh penangguhan bayaran balik tamat, anggota dan pelanggan terlibat perlu kembali membuat pembayaran seperti biasa.

Menurut KT, proses bayaran balik lebihan baki wang anggota yang berhenti akan dibuat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Anggota digalakkan untuk mendaftar Perkhidmatan KTOnline dan membuat pengeluaran simpanan secara atas talian. Hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KT di talian 1-300-8000-58 untuk pendaftaran,” jelasnya.

Sementara itu, tarikh tutup permohonan Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan (SBBU) dan Skim Insentif Kecemerlangan 19/20 akan dilanjutkan sehingga 17 Mei 2020.

Selain itu, Koperasi Tentera menegaskan bahawa mereka tidak dikawal selia oleh BNM dan tidak termasuk dalam arahan yang dikeluarkan iaitu moratorium secara automatik kepada individu dan usahawan-usahawan untuk meringankan bebananan rakyat.

“Koperasi Tentera ingin menjelaskan kepada anggotanya bahawa KT tidak dikawal selia oleh BNM dan termasuk arahan yang dikeluarkan itu hanya terpakai kepada bank berlesen, bank Islam berlesen dan Institusi Pembangunan Kewangan yang ditetapkan,” katanya.

Namun atas keprihatinan dan usaha untuk meringankan beban anggota, inisiatif yang dilaksanakan tersebut dapat membantu semua anggota dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Related Articles

Leave a Reply