Home Pertahanan dan Keselamatan Elaun tambahan khas beri suntikan moral kepada petugas barisan hadapan – Panglima

Elaun tambahan khas beri suntikan moral kepada petugas barisan hadapan – Panglima

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan pemberian elaun khas kepada petugas barisan hadapan (frontliners) memberi suntikan moral kepada anggota tentera yang turut terlibat dalam usaha memerangi wabak COVID-19 di negara ini.

Beliau mengulas pengumuman elaun khas kepada frontliners yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai Elaun Khas RM 200 sebulan melalui pakej rangsangan tersebut yang diberikan kepada beberapa pasukan keselamatan termasuk anggota tentera atas penglibatan secara langsung dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan,

“Selain itu, Elaun Khas sebanyak RM 600 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan dapat memberi suntikan moral kepada petugas Perkhidmatan Kesihatan ATM yang turut terlibat dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia merawat dan menguruskan mereka yang telah positif dijangkiti virus ini,” kata Affendi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan elaun khas kepada frontliners yang terlibat secara langsung memerangi wabak COVID-19. Pembayaran elaun bermula April ini sehingga ancaman wabak COVID-19 tamat.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, anggota tentera turut terkesan dengan penularan COVID-19. Ini terutamanya penglibatan anggota tentera dalam melaksanakan Op Penawar bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia menguatkuasakan PKP.

“Anggota tentera turut berisiko untuk dijangkiti dan menjangkiti orang lain termasuk keluarga  mereka terdekat semasa menjalankan tugas,

“Namun atas tugas dan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam peranan sekundernya, ATM mengambil amanah ini sebagai tanggungjawab dalam melindungi rakyat dan negara dari sebarang ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan semua,” tegas Affendi.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab untuk membendung penularan wabak ini dengan mematuhi PKP.

“Sesungguhnya tanggungjawab dalam menghapuskan rantaian wabak COVID-19 ini bukan terletak 100% di bahu semua agensi atau petugas yang digelar sebagai frontliner,

“Rakyat juga seharusnya bertanggungjawab dalam memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mematuhi PKP agar wabak ini dapat dibendung keseluruhannya,” kata Panglima Angkatan Tentera.

Hari ini, PKP telah memasuki hari ke-10 semenjak perlaksanaannya semenjak 18 Mac 2020. Tempoh PKP yang sepatutnya tamat pada akhir bulan ini dilanjutkan sehingga 14 April seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 25 Mac lalu.

ATM terlibat dalam menguatkuasakan PKP melalui Op Penawar yang dilancarkan pada 22 Mac dan melibatkan kekuatan seramai 75,000 anggota tentera di seluruh negara.

Related Articles

Leave a Reply