Home Pertahanan dan Keselamatan Tugas demi negara tetap diteruskan walau tiada sambutan Hari Polis

Tugas demi negara tetap diteruskan walau tiada sambutan Hari Polis

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kebiasaannya tarikh 25 Mac setiap tahun menjadi hari yang bersejarah buat seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperingati pengorbanan dan perjuangan anggota yang telah banyak berjasa kepada tanah air.

Namun begitu, sambutan Hari Polis ke-213 tidak dapat dirai kerana negara dalam krisis penularan COVID-19. Natijahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, walaupun Hari Polis tidak dapat diraikan, anggota PDRM tetap meneruskan dan menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh kerajaan dengan penuh dedikasi demi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Walaupun tiada sambutan Hari Polis seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya, kita tetap laksanakan tugas yang telah diamanahkan,” kata Mohd Fahmi.

Beliau ditemui semasa menyertai anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang, hari ini.

Saya berharap dengan pelanjutan tempoh ini, kita dapat meningkatkan usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 dengan lebih berkesan – Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah

Menurut beliau, sehingga hari ini, pematuhan PKP oleh rakyat telah mencapai 95 peratus, namun angka kematian semakin meningkat dari hari ke hari yang menunjukkan penularan wabak ini masih serius di negara ini.

“Kerajaan juga telah membuat keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh PKP sehingga 14 April depan,

“Saya berharap dengan pelanjutan tempoh ini, kita dapat meningkatkan usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Mohd Fahmi turut menyeru kepada rakyat agar mematuhi perintah yang disarankan oleh kerajaan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

Hari ini merupakan hari ke-8 PKP dilaksanakan semenjak 18 Mac lalu dan juga hari ke-4 pelaksanaan Op Penawar oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Op Penawar yang dilancarkan pada 22 Mac lalu merupakan usaha ATM membantu PDRM dalam menguatkuasakan PKP.

“Kerjasama PDRM dan ATM dalam menguatkuasakan PKP ini berjalan dengan baik.

“Kita juga telah mendapat kerjasama sebaik mungkin dari pihak ATM dan berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang terutamanya dalam situasi yang kritikal,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply