Home Semasa 73 petugas kesihatan positif COVID-19 – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

73 petugas kesihatan positif COVID-19 – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

by M.Daim

PUTRAJAYA, 25 Mac – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan seramai 73 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah disahkan dijangkiti wabak COVID-19.

Beliau menegaskan punca jangkitan kesemua anggota petugas KKM bukan berpunca dari pengendalian pesakit COVID-19.

“Berdasarkan siasatan, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM,

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4%) adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh,

“Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif COVID-19,” katanya dalam Sidang Media Perkembangan Terkini COVID-19.

Beliau menambah, seramai 1,895 anggota kesihatan KKM yang terlibat menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan. 1,187 orang adalah disahkan negatif sementara 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

“Adalah dipohon agar semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) untuk memaklumkan Ketua Jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta yang menghadiri program Ijtimak di Seri Petaling dari 27 Februari 2020 sehingga 3 Mac 2020,

“Begitu juga yang menghadiri  majlis perkahwinan pada 6 Mac 2020 di Bangi atau majlis perkahwinan pada 7 Mac 2020 di Putrajaya,” jelas Noor Hisham.

Terdahulu, Noor Hisham menyatakan sebanyak 172 kes jangkitan baharu telah dilaporkan dengan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 1,796 kes.

“Sebanyak 71 kes daripada jumlah baru adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling. Manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster,” katanya.

Menurut Noor Hisham, sebanyak 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan seramai 16 pesakit telah dibenarkan pulang dan bilangan pesakit sembuh setakat ini seramai 199 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan turut mengesahkan wabak COVID-19 telah ragut 19 nyawa sehingga hari ini dengan 4 kes kematian terbaharu dilaporkan.

Related Articles

Leave a Reply