Home Pertahanan dan Keselamatan PGA tambah anggota di sempadan Malaysia-Thailand

PGA tambah anggota di sempadan Malaysia-Thailand

by Air Times News Network

PASIR MAS, 22 Mac – Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion 7 menambah kekuatan anggota di ketiga-tiga Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Supt Azhari Nusi berkata pihaknya telah menambah seramai 86 anggota bagi melaksanakan perintah itu yang sebelum ini anggota bertugas hanya 372 orang di tiga kompleks – Rantau Panjang, Pengkalan Kubur, dan Bukit Bunga.

“Kawalan dilakukan berbentuk pemeriksaan di pintu keluar-masuk agar tiada pelanggaran terhadap PKP,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang di sini, hari ini.

“Bagi memperketatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand, pihak kami juga melaksanakan kawalan di 88 pangkalan haram secara keseluruhan di sekitar Rantau Panjang, Jeram Perdah dan Pengkalan Kubor dengan hampir 200 anggota secara 24 jam.

“Kaedah ini digunakan bagi mengelakkan orang ramai menggunakan pangkalan haram sebagai transit untuk keluar-masuk antara kedua-dua negara,” katanya.

Azhari berkata berkata pihaknya, turut melakukan rondaan motosikal, berkereta dan Rondaan Jalan Kaki (RJK) di sekitar Rantau Panjang, Jeram Perdah dan Pengkalan Kubor.

“Rondaan berkereta dan motosikal dijalankan merangkumi kawasan pekan dan pedalaman bagi memantau pergerakan orang ramai manakala RJK dilakukan di sekitar kawasan pangkalan haram dan lorong tikus bagi memperketatkan lagi PKP,” katanya.

Hasil pemantauan di ICQS pihaknya mendapati ramai warga Thailand yang berada di Malaysia khususnya di Kelantan mula kembali ke negara mereka dan rakyat Malaysia berada di negara itu turut kembali ke negara ini selepas PKP dilaksanakan.

“Begitu juga di pangkalan haram pihak kami turut mendapati pergerakan atau cubaan untuk memasuki kedua-dua negara berkurangan tetapi masih terdapat individu yang degil serta menunggu peluang untuk membolosi sempadan negara,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply