KUALA LUMPUR, 21 Mac – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini mengesahkan 2 kematian baharu melibatkan sekeluarga di negeri itu.
Laporan kes kematian terbaharu itu sekaligus menjadikan statistik kematian akibat wabak COVID-19 di negara ini meningkat kepada 6 orang.
“Kedua-dua mangsa merupakan ibu dan anak perempuan dari satu keluarga yang sama, masing-masing berumur 79 dan 40 tahun,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Mangsa pertama meninggal dunia pada jam 2 pagi 18 Mac sementara manakala mangsa kedua meninggal pada jam 1 petang 21 Mac.
“Seorang lagi ahli keluarga ini masih dirawat di Hospital Umum Sarawak dengan bantuan pernafasan mekanikal,
“Pelaporan kes kematian pertama dari keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawat pesakit kerana menunggu keputusan ujian makmal swasta di Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, JPBNS menegaskan kesemua institusi perubatan swasta di negeri itu segera melaporkan kesemua kes disyaki dan disahkan COVID-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian bagi mempercepatkan tindakan kawalan penyakit.