Home Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, ada kelebihan dan kelemahan – Penghantar makanan

Perintah Kawalan Pergerakan, ada kelebihan dan kelemahan – Penghantar makanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengekang penularan wabak jangkitan COVID-19 dilihat mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri.

Mohamad Nor Hakimi (22), seorang penghantar makanan Foodpanda menyokong tindakan kerajaan yang melaksanakan arahan kawalan tersebut untuk membendung penularan wabak berkenaan dari terus dijangkiti oleh orang ramai.

“Pada pendapat saya bagus dilakukan gitu (Perintah Larangan Pergerakan), supaya kita boleh dapat tahu pelanggan kita itu ada penyakit atau tidak,

“Takut sekiranya wabak itu ada, akan merebak kepada kita nanti,” kata Nor Hakimi kepada pemberita.

Nor Hakimi turut mencadangkan peniaga-peniaga lain untuk turut mengadakan saringan suhu terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki premis perniagaan mereka.

“Untuk peniaga lain, saya cadangkan supaya buat macam mana McDonald’s buat. Sebab mereka pentingkan tahap kesihatan pelanggan yang datang,

“Dari situ (ujian suhu) dilakukan, kita boleh tahu siapa demam, siapa yang tak demam. Kalau demam terus asingkan dan tidak dibenarkan masuk,

“Semua premis buat macam itu lagi bagus,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nur Hakimi turut menjelaskan timbul sedikit masalah semenjak perintah tersebut dilaksanakan. Menurut beliau, proses penghantaran makanannya kepada pelanggan terganggu sedikit berikutan sekatan dan pemeriksaan yang dijalankan.

“Ada masalah sikit sejak ada penyakit ini, mana-mana pejabat yang kami hendak naik (menghantar makanan) susah nak naik, kadang-kadang pelanggan marah sebab kami tidak dibenarkan naik,

“Bila nak masuk atau naik pejabat untuk menghantar makanan kena cek suhu dahulu, kalau atas dari suhu biasa tak boleh naik dan perlu menunggu sehingga lima, enam minit. Dan ada masa hendak tunggu pelanggan pun makan masa jugak,” luahnya.

Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa semalam sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Perintah kawalan yang dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Menerusi perintah kawalan itu, semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

Related Articles

Leave a Reply