Home Semasa COVID-19: Tiada operasi perniagaan di Pahang mulai 7 malam hingga 7 pagi

COVID-19: Tiada operasi perniagaan di Pahang mulai 7 malam hingga 7 pagi

by Bernama

KUANTAN, 19 Mac – Semua premis perniagaan di daerah Kuantan, Pekan, Jerantut, Bentong dan Temerloh tidak dibenarkan beroperasi mulai 7 malam sehingga 7 pagi berkuat kuasa Sabtu ini (21 Mac) sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata arahan itu dibuat bagi membendung penularan COVID-19, selepas berlaku kes positif di daerah tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah terbabit dan kita harap semua yang terlibat akan akur,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Arahan itu melibatkan semua premis perniagaan, termasuk kedai makan yang turut dilarang menjual makanan secara pandu lalu atau bungkus, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam termasuk 7-eleven sepanjang tempoh tersebut.

Menteri Besar berkata beliau dimaklumkan terdapat 32 kes positif COVID-19 di Pahang setakat ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata upacara Panguni Uthiram yang merupakan acara tahunan di Kuil Sri Marathandavar Aalayam di Sungai Jerik, Maran dekat sini, yang pada tahun ini dijadualkan selama dua hari bermula 6 April ini,  dibatalkan sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

Katanya keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan dengan pengurusan kuil tersebut hari ini yang turut disertai oleh Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman.

“Keputusan membatalkan upacara penyembahan dan penyucian jiwa itu membolehkan tiada pergerakan keluar masuk sekitar 400,000 orang ramai dan juga pelancong asing di perkarangan kuil,” katanya yang berterima kasih kepada pengurusan kuil atas keprihatinan dan persetujuan mereka membatalkan upacara itu.

Panguni Uthiram adalah perayaan ulang tahun Dewa Murugan, dewa kejayaan panglima para dewa kepercayaan Hindu Tamil dan jatuh pada bulan ‘Panguni’ iaitu sekitar Mac dan April serta dianggap istimewa kerana bintang ‘Uthiram’ dan ‘Pournami’ berlaku serentak – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply