Home Semasa Solat Jumaat di Selangor ditangguh sehingga 17 April depan

Solat Jumaat di Selangor ditangguh sehingga 17 April depan

by Nurulhuda

SELANGOR, 17 Mac – Solat Jumaat di negeri Selangor ditangguhkan sehingga 17 April 2020 dan digantikan dengan Solat Zohor di rumah masing-masing susulan penularan wabak novel Koronavirus (COVID-19) di seluruh dunia.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah agama di semua masjid, surau dan musolla turut ditangguhkan sehingga tarikh itu.

Istana Selangor dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jawatankuasa Task Force menangani COVID-19 Negeri Selangor.

“Walaubagaimanapun, laungan azan tetap diteruskan seperti biasa bagi menandakan masuk waktu solat,

“Ketetapan ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat agar tidak hadir dan berkumpul di tempat-tempat awam, terutamanya mereka yang mempunyai simtom wabak COVID-19.

“Rakyat Selangor juga digesa mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan demi mencegah penularan wabak berkenaan dan memulihkan keadaan dengan segera,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply