Home Semasa COVID-19: Bantuan RM600 sebulan untuk pekerja terpaksa cuti tanpa gaji

COVID-19: Bantuan RM600 sebulan untuk pekerja terpaksa cuti tanpa gaji

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 16 Mac – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan akan diberikan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji berikutan penularan wabak novel Koronavirus (COVID-19).

Muhyiddin berkata mereka yang layak menerima bantuan berkenaan adalah pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020.

“Mereka yang layak menerima juga terdiri daripada pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan,

“Program berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta dan seramai 33,000 pekerja disarankan untuk menerima faedah tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Selain pemberian bantuan kewangan, Perdana Menteri turut mengumumkan diskaun cas elektrik untuk semua sektor, pembayaran awal bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil Pakej rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) yang berjumlah RM2 bilion sebagai langkah tambahan untuk memperkukuhkan PRE2020 ini.

Perdana Menteri berkata dengan mengambil kira penularan COVID-19 yang menyebabkan impak yang meluas, kerajaan sekarang memutuskan untuk memberi diskaun caj elektrik kepada semua pengguna.

“Pemberian diskaun 2 peratus oleh kerajaan bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September tahun ini,

“Langkah diskaun 2 peratus ini dijangka melibatkan anggaran peruntukan RM500 juta dan akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri serta pertanian,” katanya.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin menambah, pembayaran sebanyak RM200 yang akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah telah diawalkan pada 16 Mac lalu berbanding tarikh asal yang sepatutnya dibayar pada Mei 2020.

“Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan dalam PRE2020 akan dibayar pada bulan Mei 2020 dan ini akan memanfaatkan lima juta penerima BSH,” tambah Muhyiddin.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan langkah tambahan keempat iaitu pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020 berjumlah RM2 bilion yang akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020.

“Pelaksaaan projek yang dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil,” jelas Muhyiddin lagi.

 

 

Related Articles

Leave a Reply