KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pakatan Harapan (PH) hari ini menzahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes koronavirus (COVID-19) di Malaysia.
Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, isu COVID-19 di Malaysia bukan lagi masalah kesihatan biasa, tetapi telah menjadi isu keselamatan negara yang memberi kesan kepada masyarakat dan ekonomi.
“Perhimpunan Tabligh pada 28 Februari lalu yang dihadiri hampir 14,500 jemaah di Masjid Jamek Sri Petaling telah meningkatkan lagi risiko penularan wabak COVID-19,” jelasnya.
Menurut PH, kepimpinan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang terdiri daripada Perdana Menteri sebagai pengerusi dan beberapa Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara diperlukan bagi mengatasi masalah COVID-19.
“MKN diperlukan bagi mengatasi masalah COVID-19 dengan memberi fokus kepada kesiapsiagaan sistem kesihatan, Standard Operating Procedure (SOP) pelindungan dan keselamatan orang awam, komunikasi dan kesedaran orang awam serta daya tahan ekonomi negara,
Tambahnya, kerajaan perlu memberi peruntukan khas dalam menambah baik sistem kesihatan, kemudahan hospital, latihan kepada pegawai kesihatan dan menetapkan SOP yang jelas tentang jarak sosial (‘social distancing’) dan pembatalan perjumpaan awam.
“Fokus utama adalah untuk mengurangkan bilangan kes dan memaksimumkan penjagaan kesihatan. Maka rakyat mesti menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain dan mengelakkan perjumpaan di khalayak ramai,
“Aktiviti keagamaan di rumah ibadat, sukan dan perhimpunan awam mahupun kerajaan perlu dihentikan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 secara besar-besaran dalam gelombang kedua,” jelasnya lagi.
Tambah PH, diharapkan agar rakyat sentiasa menjaga kesihatan, kebersihan, basuh tangan, elak pertemuan awam dan bekerja dari rumah bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.