Home Semasa Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.05 peratus bagi tahun 2019

Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.05 peratus bagi tahun 2019

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

TH dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan agihan berjumlah RM2.1 bilion. Jumlah tersebut adalah RM1.2 billion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

“Agihan keuntungan yang lebih baik ini didokong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat,

“Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion, dimana sejumlah RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat,” katanya.

Menurut TH lagi, secara keseluruhannya pendapatan pelaburan yang dijana adalah lebih stabil dengan pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion.

“Manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 bilion (15 peratus), RM0.5 bilion, (15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus),’’ ujarnya.

Pada masa sama, perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat keadaan pasaran saham yang tidak menentu antara lainnya disebabkan berpunca daripada ketegangan perang dagangan di peringkat global.

“Pada 31 Disember 2019,  kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebih jumlah liability sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.2 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion,” tambahnya.

Tambahnya lagi, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion iaitu peningkatan 19 peratus atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2018 dengan pengurusan kos yang berhemat.

“Peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai setelah TH mengambil kira sebanyak RM86 juta bagi pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri dan RM370 juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk semua jemaah haji,

“Serta mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 (berbanding kos sebenar RM22,900) bagi setiap jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 Hijrah yang lalu,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata agihan keuntungan yang diisytiharkan TH adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan  kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.

“Oleh yang demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat  pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

“TH membayar zakat bagi pihak pendeposit dan oleh yang demikian, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya,” ujarnya.

Untuk melangkah ke hadapan, TH akan terus berusaha menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit di TH setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai yang lain, disamping terus memastikan prestasi pelaburan yang mampan.

“Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit,

“Para Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan agihan keuntungan itu bermula 16 Mac 2020 menerusi kaunter-kaunter TH; Bank Islam dan Bank Rakyat atau ATM Bank Islam; Bank Rakyat; Maybank dan CIMB,” ujarnya.

Selain itu, pendeposit juga boleh membuat semakan secara atas talian di laman sesawang  www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di talian 03-62071919,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply