Home Pertahanan dan Keselamatan Setahun di Mindanao, TPA M-14 selamat kembali ke tanah air

Setahun di Mindanao, TPA M-14 selamat kembali ke tanah air

by Nurulhuda

SUBANG, 13 Mac – Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao ke-14 (TPA M-14) yang dianggotai 16 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan negara selamat tiba hari ini selepas setahun berkhidmat di Filipina.

Ketibaan mereka dengan pesawat C-130H  milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu disambut oleh Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (KS ATM), Leftenan Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin di Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 4.25 petang tadi.

Redzuan berkata TPA M-14 telah melengkapkan misi keamanan di Mindanao dengan jayanya walaupun pergolakan di Selatan Filipina masih lagi berlaku.

“Kejayaan ini telah menterjemahkan komitmen Kerajaan Malaysia untuk membantu masyarakat di Selatan Filipina dalam mencorak keamanan dan seterusnya menyumbang kepada kemakmuran serta kestabilan serantau,

“Penugasan, pengorbanan dan kegigihan TPA M-14 telah memberikan harapan kepada masyarakat Mindanao yang menagih penamatan konflik sejak berdekad yang lalu,

“Komitmen pegawai dan anggota TPA M-14 juga telah menyakinkan aspirasi masyarakat antarabangsa untuk mengembalikan keamanan di Selatan Filipina,” jelas KS ATM yang mewakili Panglima Angkatan Tentera dalam Majlis Sambutan Kepulangan dan Pembubaran Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao-14, hari ini.

TPA M-14 yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran telah mula bertugas di Mindanao pada 6 Mac 2019.

Ya’cob berkata TPA M-14 terdiri daripada 9 orang pegawai daripada ATM, 2 dari PDRM dan 3 masing-masing dari Kementerian Pertahanan, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao ke-14 diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

“Cabaran yang paling getir adalah untuk membawa mereka bagi menghadiri satu pertemuan, yang mana mereka boleh berbincang dan membuat keputusan dengan rasional,

‘Segala isu yang mereka protes dan buat bantahan adalah isu sensitif yang melibatkan Bangsamoro dan juga penangkapan akibat daripada perbuatan mereka lakukan sebelum bermulanya proses pendamaian,” jelas Ya’cob ketika ditemui pemberita.

Menurut Ya’cob, sebagai tim pemantau disana, mereka ditugaskan untuk memberi keyakinan kepada pihak yang bersengketa bahawa rundingan yang dilakukan akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

‘Kami turut dibantu oleh 9 anggota tentera dari Brunei, 2 dari Jepun dan seorang dari European Union  yang mempunyai kepakaran masing-masing,

“Salah seorang dari mereka mempunyai pengetahuan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” jelasnya lagi

Kesinambungan TPA M-14 diteruskan dengan penghantaran TPA-M15, diketuai Mejar Jeneral Datuk Muhammad Anwar Abdullah yang berlepas ke Mindanao pada 6 Mac lalu.

TPA M-15 ditubuhkan bagi melaksanakan tugas-tugas berpandukan kepada Term of Reference (TOR) bagi memantau perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pihak Government of Philippines (GPH) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Sehingga kini TPA M-14 telah berjaya menentukan proses damai tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Galeri Gambar:

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply