MELAKA, 13 Mac – Barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Munira Yusof.
Majlis bermula 3 petang itu dimulai dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Negaraku’, diikuti dengan lagu negeri ‘Melaka Maju Jaya’.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Hasim Hasan, Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, serta dua bekas Ketua Menteri iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron.
Kesemua 10 exco itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta kerahsiaan sebelum menandatangani surat angkat sumpah di hadapan Mohd Khalil. – Bernama
Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka:
- Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) Datuk Sulaiman Md Ali (Ketua Menteri/Lendu-BN)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan-BN)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang-BN)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-Bersatu)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia-PKR)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Latifah Omar (Taboh Naning-BN)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Datuk Roslan Ahmad (Merlimau-BN)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kesihatan dan Antidadah Rahmad Mariman (Ayer Molek-BN)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu)
- Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna (Masih kosong)