Home Semasa COVID-19: Solat Jumaat perlu diteruskan, khutbah dipendekkan – Dr. Zulkifli

COVID-19: Solat Jumaat perlu diteruskan, khutbah dipendekkan – Dr. Zulkifli

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat Jumaat hendaklah diteruskan sekiranya keadaan wabak COVID-19 masih terkawal.

Beliau menambah solat Jumaat perlu diteruskan dengan beberapa syarat seperti Khutbah dipendekkan, orang ramai hendaklah mengambil wuduk dari rumah.

“Mereka yang ada simptom COVID-19, tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit,

“Pihak masjid atau jemaah juga wajib menyediakan hand sanitizer dan penutup mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan,” ujarnya.

Namun jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan keadaan wabak COVID-19 tidak terkawal, solat Jumaat boleh untuk tidak dilakukan tetapi wajib diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Menurut Dr. Zulkifli, terdapat beberapa garis panduan iaitu larangan tersebut perlu dikeluarkan oleh pemerintah yang berautoriti seperti KKM.

“Larangan tersebut adalah termasuk juga sebarang bentuk acara dan perhimpunan sama ada rasmi atau tidak,

“Wabak sudah menunjukkan kesannya dan ramai individu yang telah disahkan positif COVID-19 di tempat tersebut,

“Pihak yang bertanggungjawab seperti KKM telah menjalankan pemeriksaan yang rapi Jemaah yang menghadiri masjid ataupun surau tersebut dalam tempoh jangkaan penularan wabak,” tambahnya.

Selain itu, beliau memohon kepada semua peserta yang menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu supaya segera menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Semalam, KKM berkata Jabatan Kesihatan Negeri kini giat mengesan lebih 5,000 peserta dari Malaysia yang menyertai perhimpunan itu susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, di mana kes yang disahkan positif COVID-19 di negara terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

 

 

Related Articles

Leave a Reply