ROME, 10 Mac – Seluruh negara Itali hari ini telah diisytiharkan sebagai zon merah wabak Koronavirus (COVID-19).
Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengumumkan pengisytiharan tersebut selepas kadar kematian dan laporan kes baharu jangkitan wabak membawa maut itu melonjak secara mendadak.
Sebanyak 1,807 kes baharu dan 97 kematian COVID-19 dicatatkan di negara itu, semalam. Dengan jumlah tersebut, Itali telah mencatatkan 463 kematian dengan jumlah jangkitan sebanyak 9,172 kes.
Pada ketika ini, Itali merupakan negara kedua teruk dilanda wabak COVID-19 selepas China.
Menurut Conte, kerajaannya terpaksa mengambil langkah drastik bagi melindungi nyawa penduduk Itali. Penduduk turut diarahkan untuk berada di rumah dan hanya keluar jika mempunyai urusan yang penting.
Pengisytiharan tersebut berkuatkuasa mula 10 Mac sehingga 3 April.
Selain itu, Itali menutup institusi pendidikan, panggung wayang, teater dan gymnasium.