Home Pertahanan dan Keselamatan Wanita tonggak pertahanan dan keselamatan negara

Wanita tonggak pertahanan dan keselamatan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersama bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong menegaskan bahawa wanita merupakan tonggak pertahanan dan keselamatan negara terutamanya mereka yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Pertahanan.

Kedua-dua bekas Menteri itu berkata, wanita juga memainkan peranan penting dalam arena pertahanan yang lazimnya dimonopoli oleh golongan lelaki.

“Seharusnya tiada lagi tanggapan bahawa wanita tidak boleh mengangkat senjata. Hal ini kerana, Malaysia sendiri telah menyaksikan ramai juruterbang pesawat tempur yang hebat tergolong dari kalangan wanita,

“Dalam zaman teknologi ini, pertempuran bukan sekadar di medan perang, tetapi juga di medan-medan lain seperti siber, kedoktoran dan kejuruteraan,” jelas Mohamad dalam hantaran di Facebook rasminya.

Mohamad Sabu juga menggalakkan penyertaan wanita untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau juga menggalakkan penyertaan wanita untuk menyertai tentera bagi membawa persepsi serta pengalaman yang unik dalam proses penentuan hala tuju dasar negara.

“Penyertaan wanita dalam Misi Pengaman PBB, bagi membantu mangsa keganasan seksual di zon konflik, selaras dengan Resolusi PBB 1325 – Wanita, Keamanan dan Keselamatan,

Anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia ketika menyertai Misi Pengaman PBB di Lubnan.

“Resolusi itu menyatakan wanita adalah pemegang setaraf dalam mencapai keamanan, kedamaian negara dan sejagat raya,” tambah Mohamad.

Kertas Putih Pertahanan (KPP) turut menyatakan aspirasi kerajaan untuk terus menyediakan sokongan yang sewajarnya kepada wanita ATM dalam usaha menggalakan penyertaan mereka dalam bidang pertahanan.

“Sokongan ini termasuklah peluang peningkatan kerjaya yang setara, dan memastikan kebajikan para wanita akan turut dijaga,

“Kementerian telah merancang pelbagai kemudahan bagi meringankan beban para wanita yang bekerja di Wisma Pertahanan,” katanya.

Selain itu, memberi kesedaran gender dalam kalangan warga pertahanan dan mengendalikan aduan gangguan seksual dengan lebih sistematik turut dirancang bagi keselamatan golongan wanita dalam kementerian.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply