Home Politik Pengerusi BERSATU Selangor nafi tidak dapat dihubungi

Pengerusi BERSATU Selangor nafi tidak dapat dihubungi

by Bernama

SHAH ALAM, 6 Mac- Sepanjang tempoh kemelut politik di negara ini, Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari menjelaskan bahawa beliau berada dalam negara.

Sambil menafikan beliau tidak dapat dihubungi sepanjang tempoh itu, Abdul Rashid berkata pada awalnya beliau dijadual ke Jerman tetapi membatalkannya kerana ingin menumpukan perhatian terhadap parti.

“… dan sepanjang tempoh itu juga saya saling berkomunikasi dengan pemimpin akar umbi bagi menerangkan situasi politik yang terjadi,” kata bekas Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor itu pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang akhbar berkata kerajaan Selangor menyingkirkan BERSATU daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil kira penjajaran semula politik negara yang berlaku di peringkat pusat.

Amirudin turut berkata kedudukan kerusi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dan dua ADUN Bebas akan diubah ke posisi blok pembangkang pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri yang akan bermula 16 Mac.

Susulan itu, empat ADUN daripada BERSATU – Sallehudin Amiruddin (Kuang); Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram); dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) — mengumumkan mereka menyokong PH dan dilaporkan membuat keputusan itu selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Abdul Rashid berkata mereka mungkin terkeliru dengan perkembangan politik yang berlaku di peringkat persekutuan dan mungkin tidak memahami isu sebenar.

Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan semua ADUN berkenaan bagi menerangkan situasi sebenar yang membawa kepada pelantikan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya hanya mendengar hasrat mereka untuk menyokong kerajaan PH Selangor di media cetak dan media elektronik sahaja dan saya bersedia untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa,” katanya.

Abdul Rashid berkata pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua ketua bahagian Bersatu Selangor setelah tamat pemilihan peringkat bahagian pada 29 Mac.

Mengenai keputusan kerajaan negeri Selangor mengeluarkan Bersatu daripada pentadbiran kerajaan negeri, Abdul Rashid berkata pihaknya menghormati keputusan itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply