Home Semasa Kami tidak memerlukan kebenaran daripada sesiapa untuk melaksanakan hak berhimpun – Fadiah

Kami tidak memerlukan kebenaran daripada sesiapa untuk melaksanakan hak berhimpun – Fadiah

by Khairunnisa Suhairi

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Peguam dan aktivis, Fadiah Nadwa Fikri hari ini menegaskan tindakan polis menyiasat beliau bersama beberapa orang aktivis lain yang terlibat dalam perhimpunan aman adalah satu tindakan pihak berkuasa untuk menakutkan rakyat daripada bersuara terhadap sesuatu isu.

Fadiah bersama tiga lagi individu lain iaitu, Azura Nasron, Wong Yan Kee dan Liew Liang Hong telah dipanggil hadir Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Fadiah berkata soal siasat terhadapnya dan rakan-rakan yang lain adalah melibatkan perhimpunan berkenaan yang diadakan tanpa memberi notis awal kepada pihak berkuasa.

“Semalam di Bukit Aman, saya juga telah beri keterangan Polis telah mengambil telefon saya dan pihak polis telah mengakses akaun Twitter saya,

“Ini adalah satu tindakan pihak berkuasa yang ingin menakut-nakutkan rakyat yang berani bersuara, mendiamkan suara rakyat yang peduli tentang demokrasi negara serta isu-isu keadilan dan kebebasan,” jelas Fadiah kepada pemberita di hadapan IPPD Dang Wangi.

“Orang ramai mempunyai hak untuk memberi ucapan dan hak untuk berhimpun,

“Tidak masuk akal untuk orang ramai harus memberi notis bagi mengadakan perhimpunan. Kami tidak memerlukan kebenaran daripada sesiapa untuk melaksanakan hak kami,” kata Fadiah lagi.

Fadiah menegaskan ia bukan tentang beliau tetapi ia adalah mengenai hak semua rakyat Malaysia.

“Kuasa yang boleh membawa kepada perubahan progresif radikal adalah kuasa rakyat,

“Kita perlu memikirkan tindakan kolektif untuk menyelamatkan negara daripada mereka yang tamak,” tambahnya.

Sementara itu, Azura Nasron berkata beliau bersama rakan aktivis yang lain tiada kuasa untuk menghentikan semua agenda politik yang dilihat menjadi mainan para pemimpin tanahair.

“Kita semua tiada kuasa, kita semua hanyalah aktivis yang hanya bersuara apabila hak-hak kami dilanggar,

“Jika tanya kepada saya, saya marah dan saya percaya, siasatan ini bukan yang pertama kalinya tetapi pada masa akan datang, semua akan tidak terlepas untuk hadapi benda yang sama termasuk media yang mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan akan disiasat dibawah akta yang sama,” katanya.

Azura turut menggesa agar pihak berkuasa tidak meneruskan siasatan dan tidak menghalang penganjur atau aktivis yang mengadakan himpunan untuk menyampaikan suara rakyat ini.

Beliau berkata yang sepatutnya difokuskan oleh pihak berkuasa adalah untuk menangkap perasuah-perasuah dan hidupkan semula demokrasi di Malaysia.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Pihak polis menyiasat penganjuran perhimpunan itu susulan tiada notis awal dimajukan kepada pihak berkuasa,” jelas Mohd Fahmi.

Related Articles

Leave a Reply