Home Politik Saya bukan pengkhianat, saya mahu selamatkan Malaysia – Perdana Menteri

Saya bukan pengkhianat, saya mahu selamatkan Malaysia – Perdana Menteri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri tetapi tampil ke hadapan untuk menggelakkan Malaysia terus terjerumus dalam kancah politik.

“Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Muhyiddin semasa perutusan yang disiarkan ke seluruh negara.

Dalam Perutusan Khas tersebut, beliau turut sedar bahawa pelantikannya seabgai Perdana Menteri bukan melalui pilihanraya tetapi dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia,” tegasnya.

Muhyiddin turut mendedahkan situasi sebenar disebalik pemilihan beliau sebagai Perdana Menteri ke-8.

Menurut beliau, kedua-dua calon Perdana Menteri ke-8, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Di peringkat awal, saya dan semua ahli Dewan Rakyat daripada parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,

“Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020,” jelas Muhyiddin.

Beliau menambah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengambil keputusan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu dan ketua-ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti,

“Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?

“Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihanraya umum perlu diadakan,

“Saya sedar saudara dan saudari(rakyat Malaysia) sudah letih dan la’ih dengan kemelut politik yang berlaku,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut menegaskan, keputusan diambil kerana kemelut politik yang berlaku semenjak 23 Februari lalu tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian. Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan,” ujarnya.

Menurutnya, kemelut politik yang melanda negara selama hampir seminggu berlaku apabila Perdana Menteri ke-7 meletakkan jawatan pada 24 Februari. Peletakan jawatan oleh Tun M telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tun M pada ketika itu telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Muhyiddin turut menegaskan, bekas Perdana Menteri, Tun M telah bersedia memberi laluan kepadanya sekiranya mendapat sokongan majoriti.

Pada 29 Februari lalu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’aytuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Muhyiddin, Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri ke-8.

Namun begitu, keputusan pelantikan Muhyiddin mendapat bantahan dari pelbagai pihak termasuk Tun M sendiri.

“Saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan meminta beliau menyokong saya. Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti,

“Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020,” jelas Perdana Menteri.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply