Home Pertahanan dan Keselamatan Henti buat cerita palsu tentang Istana Negara – Ketua Polis Negara

Henti buat cerita palsu tentang Istana Negara – Ketua Polis Negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan berita palsu mengenai perkembangan dalam Istana Negara terutamanya undi oleh Ahli Parlimen memilih calon Perdana Menteri ke-8.

“Bagaimana orang luar boleh tahu dengan jumlah undi (pertemuan selepas perbincangan ahli parlimen bersama Yang di-Pertuan Agong), jangan main-main dengan perkara macam ini.

“Saya telah arahkan pihak berkuasa ambil tindakan kepada pihak yang keluarkan kenyataan sehingga ganggu keharmonian negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara hari ini.

Sementara itu, Hamid menyeru pemimpin-pemimpin politik dan pengikutnya agar menjalankan aktiviti politik mereka yang telah diperuntukan mengikut undang-undang negara.

“Semua pemimpin politik perlu mengelakan daripada membuat kenyataan berbentuk provokatif,

“Orang ramai juga diminta berhati-hati dengan kenyataan yang dibuat dan penyebaran berita palsu mengenai perkembangan mesyuarat di Istana Negara,” jelasnya.

Hamid juga menyatakan polis sehingga ini telah membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak benar mengenai perkembangan dalam Istana Negara.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara hadir ke Istana untuk memberi taklimat berhubung keselamatan negara berikutan perkembangan politik semasa tanah air.

Related Articles

Leave a Reply