Home Semasa Siasatan helikopter PDRM terhempas di Tawau dijalankan hari ini

Siasatan helikopter PDRM terhempas di Tawau dijalankan hari ini

by Bernama

TAWAU, 27 Feb – Siasatan berhubung helikopter jenis Agusta Westland AW139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas malam tadi di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Jalan Air Panas, di sini, akan dijalankan hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah akan ke lokasi kejadian pada pagi ini.

Menurut Peter, pusat kawalan di tempat kejadian juga diaktifkan serta-merta bagi mengawal lokasi kejadian dan ianya dikendalikan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

“Lokasi terhempas sudah dikawal pihak kita,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, katanya, helikopter itu dipercayai cuba mendarat di kawasan helipad pada 7.30 malam namun hilang kawalan sebelum melanggar atap bangunan unit pentadbiran K9 di kem berkenaan.

Terdahulu, Bernama melaporkan enam anggota PGU Kota Kinabalu menaiki sebuah helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Tawau, terhempas sewaktu cuba mendarat di Helipad Kem Batalion 14 PGA Tawau, Jalan Air Panas di sini pada 7.40 malam tadi.

Anggota terlibat menjalankan operasi rutin dan bergerak menaiki helikopter dari Lahad Datu ke Lapangan Terbang Tawau untuk singgah mengisi minyak helikopter, sebelum ke Kem PGA yang kemudian hilang kawalan lalu terhempas.

Komander PGU Sabah ACP Ahmad Lokman Abdul Hadi ketika dihubungi Bernama berkata seorang anggota yang cedera tersepit merupakan seorang pemerhati udara, bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama kesemua anggota PGU yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, anggota yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas itu dikenali sebagai Sarjan Mohamad Radzie Radaie, 40, ASP Shaike Faiqzal Johari, 34, DSP Norhashim Ahmad, 44, Harry Joinin, 36, Sarjan Wedrich Sindih, 34, dan Koperal Andyrian Shah Mohd Saufi, 33 tahun.

Dalam pada itu, seorang saksi, Wong, 60, yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata Helikopter Agusta Westland AW139 itu berpusing beberapa kali dipercayai mengalami masalah enjin sebelum terhempas di kem PGA.

Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah di Jalan Muhibbah Raya sebelum terdengar bunyi kuat di udara.

“Saya baru lepas makan kira-kira pukul 7 malam, helikopter biasa lalu di kawasan rumah saya, tapi hari ini bunyi kuat lain macam,” katanya dan menambah helikopter itu terbang rendah dan berpusing-pusing sebelum hilang daripada pandangan mata.- Benama.

Related Articles

Leave a Reply