Home Politik Biar kita rampas kuasa politik – Arutchelvan

Biar kita rampas kuasa politik – Arutchelvan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa rakyat negara ini  untuk campur tangan dan memainkan peranan dalam menentang politik kotor segelintir ahli politik yang merancang untuk menggulingkan kerajaan sekarang.

Timbalan Pengerusi PSM, S.Arutchelvan berkata, sesetengah menteri dilihat sengaja mencetuskan krisis ekonomi, ketidaktentuan politik dan meningkatkan kegusaran serta kegelisahan rakyat.

“Rakyat merasa marah. Marah kepada politik dan ahli politik. Bagi mereka semua ahli politik adalah kaki tipu dan politik itu kotor dan tercemar. Bukan salah mereka jika itulah yang berlaku dalam politik dan itulah yang mereka dapat lihat,

“Masalahnya politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita. Daripada hari kita dilahirkan sehingga hari kita meninggal dunia, politik menguasai kehidupan kita,

“Persoalan adalah samada kita sebagai rakyat hendak menguasai politik atau membiarkan politik ditangan segelintir kecil,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

PSM telah menyarankan agar rakyat menjadi kuasa perubahan dan bukan sekadar kuli untuk wakil rakyat sahaja.

Berikutan itu, Arul menyeru rakyat untuk membina semula jiwa merdeka agar kepentingan rakyat terbela dan bukan berpecah belah seperti kehendak segelintir menteri yang mahukan rakyat bergaduh.

“Biar kita rampas kuasa politk dari ahli politik yang oportunis dan tamak. Jom kita membina politik bawahan untuk melawan golong elit di atas,

“Inilah masa untuk berubah. Politik bukan milik mereka sahaja,” tambahnya lagi.

Terdahulu pada malam Ahad, perkembangan politik tanahair menyaksikan beberapa pemimpin dari Bersatu, PKR, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak, dan Warisan, masing-masing mengadakan mesyuarat secara berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya. Pertemuan ini menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan pengaturan semula landskap politik negara.

Tun Dr Mahathir juga semalam telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta melepaskan jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Related Articles

Leave a Reply