Home Pertahanan dan Keselamatan Harimau Pembebasan Tamil Eelam Adalah Pengganas – Muhyiddin

Harimau Pembebasan Tamil Eelam Adalah Pengganas – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia.

Muhyiddin berkata, penyenaraian LTTE sebagai pertubuhan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa beliau sebagai Menteri Dalam Negeri seperti diperuntukkan oleh undang-undang.

“Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri,

Menurutnya, untuk rekod selain Malaysia beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai pertubuhan pengganas dalam senarai negara masing-masing. Antaranya India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong pertubuhan pengganas LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka dan keputusan tersebut mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Menurut Muhyiddin, beliau mempunyai kuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan keganasan sebagai entiti yang ditentukan.

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti PDRM dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah menyenaraikan LTTE sebagai pertubuhan pengganas sejak 12 November 2014.

“Berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada pihak berkuasa, saya selaku Menteri Dalam Negeri mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai pertubuhan pengganas,

“Pertubuhan ini dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara,

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan pertubuhan ini,” jelas Muhyiddin.

 

Related Articles

Leave a Reply