Home Pertahanan dan Keselamatan ASEAN perlu melengkapi antara satu sama lain, perkukuh hubungan serantau – Menteri Pertahanan

ASEAN perlu melengkapi antara satu sama lain, perkukuh hubungan serantau – Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berada di Hanoi, Vietnam bagi menyertai Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat).

Dalam mesyuarat yang dianggotai oleh Menteri Pertahanan dari 8 negara anggota ASEAN, Mohamad menyuarakan pandangan Malaysia bahawa ASEAN perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan serantau dan perlu saling melengkapi satu sama lain sebagai langkah ke arah pembangunan komuniti ASEAN.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan hasrat Malaysia untuk membina kesedaran dan menyemai budaya keselamatan siber serta norma positif melalui kumpulan kerja pakar ADMM-Plus mengenai keselamatan siber. Kumpulan yang dikenali sebagai ADMM-Plus Experts’ Working Group on Cyber Security (ADMM-Plus EWG on CS) dipengerusikan secara bersama antara Malaysia dengan Korea Selatan dari tahun 2020 hingga 2023.

Kumpulan kerja ini ditubuhkan bagi bertujuan untuk mengurangkan jurang pengetahuan, kesedaran dan keupayaan dalam domain siber dalam kalangan negara ASEAN dan negara-negara Plus.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, Mohamad menegaskan bahawa usaha sebegini penting agar ASEAN dapat meningkatkan keupayaan untuk mengadaptasi Revolusi Perindustrian keempat (Fourth Industrial Revolution).

Pada masa yang sama, Menteri Pertahanan Malaysia turut menekankan keperluan untuk ADMM dalam memastikan prinsip ASEAN Centrality sebagai keutamaan dalam memupuk hubungan dengan rakan-rakan negara ASEAN serta dalam menjaga hubungan dengan negara Plus.

Selain isu keselamatan, ahli mesyuarat Pemukiman ADMM turut bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bersama dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 secara kolektif.

Selain menghadiri pemukiman, Mohamad turut mengambil bahagian dalam Mesyuarat Tidak Formal Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN – Australia (ASEAN-Australia Defence Ministers’ Informal Meeting), dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat Australia, Senator Linda Reynolds.

Dalam pertemuan bersama Menteri Pertahanan Australia, Linda Reynolds, Mohamad menyuarakan sokongan penuh negara terhadap pendekatan visi pertahanan Australia.

“Saya menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan Australia’s 2020 Vision for Defence Engagement yg meletakkan kepentingan keselamatan dan kesejahteraan wanita serta agenda sekuriti yang holistik,” kata Mohamad di akaun Twitternya.

Pihak kementerian menjelaskan kehadiran Mohamad di Pemukiman ADMM mempamerkan komitmen Malaysia terhadap ADMM sebagai mekanisme diplomasi pertahanan serantau terulung yang menyumbang ke arah keselamatan, keamanan, dan kestabilan rantau ASEAN.

 

Related Articles

Leave a Reply