Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Doa ibu tercinta tunaikan impian Perajurit Muda teruskan legasi ayah

Doa ibu tercinta tunaikan impian Perajurit Muda teruskan legasi ayah

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 18 Feb – Impiannya sama seperti individu lain, hanya mahu membahagiakan dan membalas jasa ibu tercinta yang telah membesarkan setelah kematian seorang insan yang bergelar bapa pada 2004.

Perajurit Muda (PM) Mohammad Najib Abdul Samad (22) juga percaya, restu dan doa seorang ibu adalah senjata terpenting dalam menentukan kejayaan seseorang anak.

Menjalani latihan perajurit muda selama enam bulan dan terpaksa meninggalkan ibu tercinta serta adik di kampung adalah pemangkin semangat bagi dirinya untuk meneruskan latihan.

Anak kelahiran Batu Kurau, Perak ini merupakan antara 1,809 Perajurit Muda yang berjaya menamatkan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Siri 190/19 di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada Sabtu lalu.

“Kalau tiada ibu saya, sudah pasti saya tidak dapat meneruskan latihan ini,

“Saya sangat merindui ibu dan sentiasa berdoa agar ibu sihat serta tabah di kampung. Saya juga selalu berdoa agar ibu mendoakan kejayaan saya sepanjang menjalani latihan,

“Dulu saya seorang yang nakal, tidak dengar cakap mak saya, kurang berdisiplin dan tidak mengormati orang lain. Apabila saya menjalani latihan disini, saya dapat belajar banyak tentang hormat menghormati serta erti persahabatan,” tambah Mohammad Najib kepada pemberita.

Beliau merupakan anak sulung dari tiga orang adik beradik ini juga menyeru kepada golongan muda yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap agar menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk bersama-sama mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Pada mulanya agak berat untuk melepaskan Najib menyertai ATM, tetapi demi masa depan dia dan untuk meneruskan perjuangan arwah ayahnya, saya kena redha serta kuat – Puan Khamisah Osman

Sementara itu, Khamisah Osman, ibu kepada Mohamad Najib meluahkan rasa bersyukur apabila anak sulungnya berjaya menamatkan latihan dan berjaya meneruskan jejak langkah arwah suaminya yang merupakan seorang bekas anggota tentera.

“Pada mulanya agak berat untuk melepaskan Najib menyertai ATM, tetapi demi masa depan dia dan untuk meneruskan perjuangan arwah ayahnya, saya kena redha serta kuat,

“Najib sangat berminat untuk masuk angkatan tentera dan ini merupakan percubaan kali ketiga dia untuk menyertai Tentera Darat. Alhamdulillah, Najib dapat menamatkan latihan dengan selamat,” jelas Khamisah yang merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Kampung Perak.

 

Related Articles

Leave a Reply