Home Semasa Gula-gula tenaga rawat mati pucuk beracun, boleh sebabkan kematian – Kementerian Kesihatan

Gula-gula tenaga rawat mati pucuk beracun, boleh sebabkan kematian – Kementerian Kesihatan

by M.Daim

PUTRAJAYA, 17 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan beberapa produk gula-gula tenaga (energy candy) yang dijual di pasaran negara ini didapati mengandungi bahan terlarang dan racun berjadual.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM telah menjalankan pemantauan terhadap produk-produk yang dikenalpasti.

“Hasil analisis makmal ke atas produk Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual tadalafil,

“Bahan ini dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983,” tegas Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Produk yang dikenalpasti adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Menurut beliau, Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).

“Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar,

“Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya,

“Ini turut memberi kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” jelas Ketua Pengarah Kesihatan.

Beliau menasihatkan para pengguna untuk tidak membeli produk tersebut.

Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menegaskan mana-mana pihak yang didapati mengedar atau menjual produk terbabit akan dikenakan tindakan.

“Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

 

Related Articles

Leave a Reply